Keajaiban resepi rempah kari arwah ibu, Zarina miliki 14 jenis pes jenama sendiri

Keajaiban resepi rempah kari arwah ibu, Zarina miliki 14 jenis pes jenama sendiri

Disebalik kejayaan wanita berusia 54 tahun itu, rupanya terselit seribu satu rahsia apabila perniagaannya mengusahakan resepi rempah kari arwah ibunya.

Pemilik nama Zarina Bakar berkata, penglibatan awalnya dalam dunia perniagaan bermula dengan hanya berniaga kedai makan makan secara kecil-kecilan di depan rumah sahaja.

Siapa sangka, keringatnya bangun seawal pagi untuk berniaga nasi lemak dan nasi berlauk sehingga petang membuahkan hasil sehingga ke hari ini. Malah, dia turut menghantar nasi lemak ke kedai makanan lain atas permintaan. 

Mengimbau kembali, Zarina berkata, pada 1990, dia bangun seawal jam 3 pagi untuk menyediakan makanan buat dua orang anaknya berusia tujuh dan lima tahun pada ketika itu. 

Malah, dia juga mula melatih anak-anak untuk membantunya menyusun kerusi di meja pelanggan pada jam 6.30 pagi sebelum mereka menaiki bas ke sekolah.

Namun, tidak sangka dengan segala kepayahan dia berniaga suatu ketika dahulu akhirnya berbaloi apabila makanannya mendapat sambutan baik daripada pelanggan di seluruh negara.

“Saya tak dapat bayangkan keadaan kami sekeluarga ketika itu, sangat susah. Selepas setahun berniaga, akhirnya saya membuat keputusan untuk meminjam duit sebanyak RM500 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),”ujar Zarina.

Wanita dari Kampung Sungai Pial, Bedong, Kedah ini meluahkan kesyukuran kerana dapat membesarkan kedainya dengan menggunakan duit pinjaman dan bantuan daripada AIM.

Bercerita lanjut, Zarina kemudian membuat lagi pinjaman RM3,000 diikuti RM15, 000 sehinggalah pinjaman maksimum sebanyak RM30, 000 untuk membesarkan kedainya yang dinamakan Naim Ikan Semilang. 

“Alhamdulullah. Dengan duit itu, saya dapat besarkan sedikit kedai saya. Antara menu istimewa kedai saya adalah gulai dan dan masak merah yang asalnya merupakan resepi arwah ibu,”katanya lagi.

 Zarina berkata, dia sudah mula belajar menggiling rempah sejak berusia 10 tahun lagi dari ibunya. Ternyata, rempah yang dipelajarinya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Tambahnya lagi, ramai pelanggan mula menempah gulai ikan semilang yang sememangnya menjadi identiti kedainya.

Ibu kepada lima orang cahaya mata itu memberitahu pes gulai ikannya mula dikenali sekitar tahun 2005 apabila ramai pelanggan terdiri daripada golongan pendidik membuat tempahan.

“Dari situ, saya mula jual pelbagai jenis pes seperti pes gulai, masak hitam, masak merah, sambal tumis, kurma, gulai udang, ikan bakar, sup dan masak lemak cili api,”cerita Zarina.

Zarina berkata, setiap pes yang dimasak mengambil masa empat jam bagi memastikan rasa dan kualitinya terjaga.

Kesemua pes tersebut turut dijual menerusi jualan e-dagang Shopee di mana dia mampu meriah jualan kira-kira RM8,000 hingga RM10,000. Manakala, pendapatan di kedai makan pula mampu mencecah RM3,000 hingga RM4,000 sehari pada hari cuti sekolah.

Di kesempatan itu, Zarina berterima kasih kepada AIM kerana membantunya untuk mengembangkan perniagaan dengan memberi pinjaman mudah tanpa sebarang cagaran.

 Zarina juga percaya, ramai wanita di luar sana mampu berjaya dalam bidang perniagaan dengan bantuan dan pinjaman daripada AIM.

Scroll to Top