Keadaan masih terkawal, JBPM Terengganu belum minta bantuan tambahan

Keadaan masih terkawal, JBPM Terengganu belum minta bantuan tambahan

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Berang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu masih berupaya mendepani situasi banjir yang melanda ketika ini.

Pengarahnya, Hassan ‘As’ari Omar berkata, pihaknya belum membuat permohonan kepada ibu pejabat JBPM untuk bantuan tambahan termasuk dari segi aset dan keanggotaan.

“Sehingga saat ini, kalau kita lihat memang trend (mangsa banjir) meningkat tetapi setakat ini juga JBPM Terengganu dengan keupayaan anggota dan asetnya masih mampu (dan) keadaan masih terkawal.

“Cuma tak tahu keadaan (tengah) malam ini dan esok namun, seandainya banjir ini menunjukkan peningkatan signifikan yang lebih berat, besar kemungkinan akan dapatkan bantuan (tambahan) itu,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Setakat 10 malam tadi, seramai 25,425 mangsa daripada 7,121 keluarga dilaporkan terjejas di Terengganu, dan berlinding 270 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah iaitu Kemaman, Dungun, Setiu, Kuala Nerus, Besut, Marang dan Hulu Terengganu.

Besut mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 11,970 mangsa, diikuti Setiu (5,259 mangsa), Hulu Terengganu (4,867 mangsa) dan Kemaman (1,434 mangsa).

Di Dungun, ia membabitkan 1,051 mangsa, Marang (576 mangsa) dan Kuala Nerus (268 mangsa).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top