KDNK Oktober dijangka tumbuh 4.0%

KDNK Oktober dijangka tumbuh 4.0%

PETALING JAYA: Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 4.0 peratus pada Oktober berdasarkan prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI), Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI) dan minyak sawit mentah (MSM) yang merupakan 52 peratus daripada KDNK.

Ketua Ekonominya, Suhaimi Ilias berkata, Oktober menyaksikan sedikit penyederhanaan dalam pengeluaran perindustrian dengan pertumbuhan 2.1 peratus tahun ke tahun, kenaikan lebih kukuh dalam perdagangan edaran (5.1 peratus) dan penurunan lebih besar dalam output sawit mentah (-7.2 peratus).

“Kami menganggarkan KDNK meningkat 4.0 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2024 (September 2024 sebenar: 4.0 peratus).

“Anggaran pertumbuhan KDNK setahun penuh kami sebanyak 5.2 peratus (sembilan bulan 2024: 5.2 peratus) membayangkan pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus pada suku semasa (suku ketiga 2024: 5.3 peratus tahun ke tahun),” katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata, IPI menyederhana sedikit kepada 2.1 peratus tahun ke tahun pada Oktober di tengah-tengah campuran pembuatan mampan, elektrik lebih perlahan dan penurunan selanjutnya dalam perlombongan.

Katanya, prestasi pembuatan disokong oleh pertumbuhan yang lebih kukuh dalam industri berorientasikan domestik, mengikut pertumbuhan dalam produk pemprosesan makanan, produk logam fabrikasi, kecuali jentera dan peralatan dan produk bukan logam lain.

Sementraa itu, industri berorientasikan eksport dikekalkan oleh minyak dan lemak sayur dan haiwan, produk getah dan komputer, elektronik dan produk optik.

“Keluaran perlombongan diheret lagi dengan penurunan dalam gas asli (Oktober: 0.4 peratus) dan penurunan berterusan dalam minyak mentah dan kondensat (Oktober: -7.5 peratus), manakala pengeluaran MSM terus jatuh (Oktober: -7.2 peratus).

“Pertumbuhan DTI meningkat berikutan peningkatan dalam volum perdagangan dalam perdagangan borong (Oktober: 6.1 peratus) dan perdagangan runcit (Oktober: 5.0 peratus) serta lantunan semula dalam kenderaan bermotor (Oktober: 1.6 peratus).

“Purata wajaran perdagangan runcit dan kenderaan bermotor, proksi untuk pertumbuhan penggunaan swasta sebenar meningkat (Oktober: 4.3 peratus; September: 2.5 peratus),” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top