KDN, PDRM jadi pemudah cara perhimpunan antirasuah esok

KDN, PDRM jadi pemudah cara perhimpunan antirasuah esok

am@hmetro.com.my

Jeli: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan antirasuah yang akan berlangsung esok berjalan lancar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia selaras dengan Akta Perhimpunan Aman, namun penganjur dan peserta perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk tidak membawa senjata tajam atau anak di bawah umur.

“Menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri, saya sampaikan taklimat kepada jemaah menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada perhimpunan antirasuah.

“Saya maklumkan bahawa kerajaan kita sentiasa menghormati hak kebebasan berhimpun yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor) Bangunan Jabatan Kerja Raya, Datuk Ir Ibrahim Esa.

Saifuddin berkata, kerajaan menghormati prinsip kebebasan berhimpun.

Media sebelum ini melaporkan perhimpunan bertemakan ‘Rakyat Benci Rasuah’ dijadualkan berlangsung pada esok di hadapan kompleks beli belah, Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top