am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyediakan memorandum Jemaah Menteri bagi mempercepatkan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya juga akan melaksanakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan supaya pindaan itu dapat dibentangkan di Parlimen tahun ini.
“Arahannya kepada KDN adalah sidang tahun ini. Jadi saya kena buat memorandum Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha KDN bantu untuk mendapatkan keputusan dasar.
“Apabila Jemaah Menteri dah setuju, kami akan buat libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk aktivis himpunan aman, Ahli Parlimen, kemudian kita akan dibentang di Parlimen.” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Mahlis Penyampaian Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi soal jawab di Parlimen hari ini memaklumkan kerajaan setuju untuk meminda Akta 736 bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan apa juga keputusan daripada badan atau kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman.
Beliau dilaporkan berkata, ini bermakna keperluan mendapatkan kelulusan tempat seperti diperuntukkan dalam Seksyen 11 Akta 736 akan dipinda dan diketepikan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, biarpun akta terbabit akan dipinda, kerajaan tetap bersifat terbuka dan tidak menghalang mana-mana pihak menganjurkan perhimpunan aman.
“Pada 2023, polis menerima 10,000 pemakluman untuk mengadakan perhimpunan aman dan tahun lalu, sebanyak 7,000 pemakluman yang diterima pihak berkuasa.
“Daripada jumlah itu, antara 98 dan 99 peratus dibenarkan (mengadakan perhimpunan), hanya satu ke dua peratus lagi berdepan isu lokasi kerana tidak mendapat kebenaran pemilik premis, bukan kerana disekat kerajaan,” katanya.
Saifuddin berkata, sebanyak 1,787 kertas siasatan dibuka berhubung perhimpunan dibuka pada tahun lalu dan hanya 30 daripadanya dikenakan tindakan mahkamah.
“Ini menunjukkan kertas siasatan yang berakhir dengan tuduhan (di mahkamah) adalah rendah.
“Kerajaan Madani sama sekali tidak menyekat perhimpunan aman. Silakan tiada masalah. Biar statistik berbicara. Jadi dengan itu, Perdana Menteri kata, lakukan pindaan, maka kami lakukan pindaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd