KDA FC sasar 100 syarikat jadi rakan strategik, penaja

KDA FC sasar 100 syarikat jadi rakan strategik, penaja
KDA FC sasar 100 syarikat jadi rakan strategik, penaja

Mohd Daud (dua dari kiri) mengumumkan ALX pula sebagai pengeluar jersi Kedah bagi musim 2024/2025.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC menyasarkan 100 syarikat akan kerjasama dengan kelab tersebut sebagai rakan rasmi, rakan perniagaan, rakan strategik serta penaja bersama bagi menjana pendapatan pada masa hadapan.

Pemilik saham majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengajak komuniti perniagaan di negeri ini untuk bersama-sama Sang Kenari dan setakat ini hampir 30 syarikat telah menyatakan komitmen dan diumumkan secara rasmi bersama kelab tersebut.

“Hampir 30 penaja telah bersama KDA FC dan jumlah ini akan berkembang dan seperti penaja utama, kedua, ketiga dan keempat kami masih berbincang dengan beberapa pihak yang telah menyatakan hasrat untuk bersama kami.

“Saya harap jumlah ini akan berkembang kepada 100 syarikat daripada pelbagai sudut melibatkan rakan rasmi, rakan perniagaan, rakan strategik serta penaja bersama,” katanya pada sidang akhbar di bilik media Stadium Darul Aman, Alor Setar pada petang Jumaat.

Hadir sama pemangku ketua pegawai eksekutif (CEO), Shahrul Samsudin.

Mengulas mengenai penaja utama, kedua, ketiga dan keempat, Mohd Daud berkata, perbincangan akan terus berlaku sehinggalah semua pihak berpuas hati dan mencapai sepakat untuk bersama Sang Kenari.

Antara rakan rasmi KDA FC yang diumumkan bagi musim ini adalah Xpress Point, SA Mutiara Deco dan GTR Burger.

Kenari Care, Scent Buddy, Urban Mode dan Arena Prestige antara yang diumumkan rakan perniagaan Sang Kenari manakala SafaWira, Dai G dan Wandet antara rakan strategik kelab itu.

Bagi penaja bersama pula adalah Electrica dan Anak serta logo mereka diletakkan di bahagian lengan dan belakang jersi manakala ALX pula sebagai pengeluar jersi Kedah bagi musim 2024/2025.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!