KBS akan laksana temu duga ketua pengarah baharu MSN

KBS akan laksana temu duga ketua pengarah baharu MSN

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kini dalam proses mencari pengganti Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub yang akan tamat kontrak pada April.

Menterinya Hannah Yeoh berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang sesuai untuk menggalas jawatan itu dan akan menjalankan proses temu duga dalam masa terdekat.

“Nama itu sudah pasti ada dan seperti jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) kita akan buat proses temu duga.

“Bagaimanapun, proses temu duga masih belum berjalan. Apa-apa kita akan kemas kini kepada media nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan di Kelab Golf Saujana di Subang Jaya pada Khamis.

Sebelum ini, Abdul Rashid dilantik menggantikan Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada November 2023 selepas Ahmad Shapawi bersara wajib pada September 2023.

Dalam pada itu, Hannah berkata, pihaknya telah menemui pengganti CEO ISN Ahmad Faedzal Md Ramli yang akan menamatkan perkhidmatan pada 24 Februari.

Pengumuman mengenai CEO ISN yang baharu itu bakal dibuat dalam tempoh terdekat.

Scroll to Top