Kawal selia media sosial cegah jenayah siber lebih teruk – Pakar

Kawal selia media sosial cegah jenayah siber lebih teruk – Pakar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan kerajaan memperkenalkan kawal selia baharu terhadap perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet disifatkan sebagai pelengkap kepada peranan yang dimainkan oleh semua pihak dalam menangani jenayah siber.

Pakar Keselamatan Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Nur Izura Udzir berkata, garis panduan baharu yang diperkenalkan kerajaan ini berupaya menjadikan undang-undang sedia ada menjadi lebih berkesan untuk mencegah keadaan menjadi lebih buruk.

Katanya, secara tidak langsung penyedia platform itu juga akan memahami peranan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan dengan sebarang kandungan yang dipaparkan di media sosial.

“Tidak dinafikan, ramai pihak termasuk ibu bapa memahami kawalan penggunaan media sosial dan sebagainya terhadap anak-anak khususnya, tetapi apabila disertakan sekali dengan kuatkuasa baharu daripada kerajaan, ia akan menjadi lebih kuat dan penyedia platform ini akan menjadi lebih berhati-hari.

“Dalam masa yang sama, kita dapat mengekang jenayah siber, penipuan dalam talian, aktiviti persundalan dalam talian, cetak rompak yang memang berleluasa dan seolah tiada kawalan kerana sesiapa saja boleh mendapatkan atau menggunakan platform itu.

“Sepatutnya perkara ini sudah lama dilaksanakan, bagaimanapun apabila kerajaan sudah mula laksanakan langkah ini, saya amat bersetuju kerana ia juga dapat melindungi hak dan data peribadi pengguna daripada terlepas atau sebagainya,” katanya kepada BH, hari ini.

Hari ini, kerajaan mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu akan dikuatkuasa 1 Januari depan, selepas satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet akan diperkenal pada 1 Ogos ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Nur Izurea berkata, tahap kebimbangan mengenai keselamatan pengguna di dalam talian daripada pelbagai sudut bukan saja berlaku di negara ini tetapi di peringkat global juga.

“Selain jenayah yang dilaporkan, kita mungkin tidak tahu terdapat banyak kes jenayah yang tidak dilaporkan.

“Ia bukan hanya sudut jenayah yang ditafsir dari segi undang-undang saja, tetapi kita juga perlu melihat sesuatu yang di luar norma batas budaya, yang tidak selari dan beretika dengan kehidupan masyarakat di negara ini.

“Justeru, penguatkuasaan dan langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan ini adalah sangat tepat bagi mengelak situasi menjadi tidak terkawal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd