Kaum Bani Isra’il makin membiak, Firaun anggap ancaman

Kaum Bani Isra’il makin membiak, Firaun anggap ancaman

BANI Isra’il berasal daripada keturunan zuriat Nabi Ya’qub AS yang berhijrah bersama puteranya, Nabi Yusuf AS. Telah disebutkan cerita Nabi Yusuf AS dalam satu surah khusus daripada al-Quran, yang menceritakan bagaimana Baginda dikurniakan kuasa memerintah negara Mesir dengan adil mengikut petunjuk Allah SWT.

Advertisement

Setelah berlalu masa beberapa abad lamanya, jumlah mereka juga semakin bertambah besar ramainya. Keadaan ini menandakan kemunculan satu bangsa atau kaum yang dinamakan Bani Isra’il atau Ibrani yang kini dikenali dengan bangsa Yahudi.

Setelah berlalu tempoh masa yang panjang, berlaku kelemahan dalam pemerintahan mereka. Lantas, kekuasaan diambil alih semula oleh kaum Qibti yang merupakan penduduk asal negeri Mesir.

Salah seorang rajanya yang bergelar Firaun memiliki kuasa dalam negara itu dan mengaku dirinya sebagai tuhan yang berkuasa paling tinggi. Hal ini disebabkan kekuasaan dan kekayaan hasil negaranya, serta bangunan yang tersergam dengan megahnya.

Kaum Bani Isra’il yang semakin membiak ramai dianggap sebagai suatu ancaman oleh Firaun, lalu dia bertindak zalim dengan membunuh anak lelaki yang baru dilahirkan dan membenarkan anak perempuan sahaja untuk hidup.

Tambahan pula, Firaun bertindak sedemikian disebabkan ramalan ahli nujumnya bahawa kelahiran seorang anak lelaki daripada kalangan Bani Isra’il akan menjatuhkan kerajaannya.

ABDUL HADI AWANG
Kuliah Dhuha Jumaat, 15 Rejab 1445 – HARAKAHDAILY 26/1/2024