Kastam Sabah rampas minuman keras, rokok bernilai RM1.3 juta

Kastam Sabah rampas minuman keras, rokok bernilai RM1.3 juta

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menumpaskan aktiviti penyeludupan minuman keras dan rokok bernilai RM1.3 Juta dalam tiga serbuan berasingan Pelabuhan Sepanggar, Tawau dan Semporna.

Serbuan bermula pada 17 dan 18 Januari lalu oleh pegawai dan anggota penguatkuasa Kastam Zon Sabah, turut menahan lima individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, kejayaan serbuan ini hasil daripada kolaborasi JKDM Sabah dalam menangani sebarang aktiviti yang membabitkan penyeludupan barang larangan atau barang tak berkastam.

Katanya, kes pertama membabitkan minuman keras selepas sepasukan anggota Kastam Bahagian Penguatkuasaan menahan dan memeriksa tiga kontena yang mendarat di Pelabuhan Sepanggar kira-kira jam 1 petang, 18 Januari lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kontena berkenaan memuatkan 8,100 karton minuman keras pelbagai jenama yang diimport tanpa permit yang sah.

“Nilai keseluruhan minuman keras yang disita itu dianggarkan bernilai RM243,136.08 dengan cukai adalah RM994,612.62. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kes kedua dijalankan pada 3.30 petang 17 Januari, menerusi serbuan sepasukan pegawai Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Tawau di sebuah kedai runcit di Kampung Jagung, Merotai Besar Tawau.

“Sejumlah 1,600 rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai barang RM310.40 dan nilai keseluruhan termasuk cukai adalah RM1,087.04 yang disembunyikan di bawah meja juruwang di kedai dirampas.

“Dalam operasi berasingan pada jam 3.45 petang hari sama, hasil serbuan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jagung, Merotai Besar Tawau, berjaya menemukan pelbagai jenama rokok yang disyaki barang larangan diletakkan di atas katil dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Selepas diperiksa, sejumlah 3,076 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tak berkastam dianggarkan RM530 dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai RM2,083.16 dirampas,” katanya.

Sementara itu, Siti berkata satu lagi rampasan berjaya dilakukan di Kampung Tepian, Semporna jam 7.45 malam hari sama, membabitkan 68,800 batang rokok disimpan di dalam kenderaan jenis Proton Exora yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Semua barangan yang dianggarkan bernilai RM22,384 dengan nilai termasuk cukai adalah RM70,176 dirampas untuk tindakan lanjut.

“Kita dapati pihak penyeludup menggunakan modus operandi dengan membuat pengikraran yang tidak betul dan menyembunyikan barang larangan di lokasi tertutup selain menggunakan kenderaan tidak bernombor bagi mengelakkan

pengesanan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top