zaidim@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Akur keperluan mencari rezeki demi survival industri kreatif, namun, penggiat seni disaran menarik ‘brek’ ketika seluruh negara berdepan lonjakan mendadak jangkitan COVID-19 hingga banyak aspek dalam prosedur operasi standard (SOP) pelbagai sektor ekonomi diperketatkan, sejak Selasa lalu.
Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor, berkata dalam keadaan getir sekarang, penggiat seni perlu akur dengan ujian dihadapi industri kreatif dan berusaha mengelak penularan wabak itu menjadi lebih buruk.
“Sudah hampir dua tahun kita berdepan situasi getir ini. Pekerja seni baik di hadapan atau belakang tabir seharusnya belajar daripada pengalaman.
“Ketika ini, saya fikir kalau kita berkurung secara total lebih baik dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan… Itu lebih afdal. Apa yang saya luahkan ini bukan atas kapasiti orang kerja seni, tapi semua sektor.
“Biar kita susah dalam suatu tempoh masa tertentu bagi memutuskan rangkaian wabak ini daripada terus berpanjangan,” katanya kepada BH Online.
Khir berkata, rungutan diutarakan penggiat sektor seni dianggap lumrah dalam mana-mana situasi sekalipun.
Namun, baginya, adalah lebih baik jika penggiat seni sentiasa beringat dan membuat tabungan yang boleh dimanfaatkan pada waktu sukar.
“Semua orang terkesan ketika ini. Namun, semua orang mahu hidup seperti dahulu dalam keadaan sihat dan aman.
“Berehatlah sekejap daripada aktiviti hiburan dan penggambaran. Mari kita sama-sama berkurung di rumah secara kendiri dan membantu pekerja barisan hadapan melakukan tanggungjawab mereka,” katanya.
Khir berkata, PROFIMA tidak pernah tersasar daripada misi membantu ahli terutama dalam menjaga kebajikan penggiat seni.
“Kita ada lebih 21,000 ahli berdaftar. Mereka yang aktif dianggarkan antara 13,000 hingga 14,000 ahli. Daripada jumlah itu, mereka yang membayar yuran tahunan adalah kira-kira 3,000 hingga 4,000 orang,” katanya.
Khir berkata, bantuan keperluan asas seperti beras, minyak, kicap dan tepung sering diagihkan kepada ahli.
Namun, katanya, dalam situasi sekarang, pihaknya lebih selektif dalam mengagihkan bantuan.
“Jika negara melaksanakan ‘total lockdown’, saya dan ahli jawatankuasa sanggup menyediakan bekalan keperluan asas untuk ahli bagi tempoh dua hingga tiga bulan,” katanya.
Khir berkata, dalam keadaan yang dianggap meruncing sekarang, semua pihak tidak boleh mementingkan diri.
“Jangan letak kesalahan itu dan ini kepada sesiapapun. Pada saat getir sekarang, sudah tiba masanya kita mengutamakan nyawa.
“Fikirlah dengan lebih mendalam. Letak rasa empati dan simpati kepada pekerja barisan hadapan yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa orang ramai,” katanya.
Mewakili tenaga kerja profesional filem di Malaysia, PROFIMA ditubuhkan pada 1993. Dahulu dikenali sebagai Persatuan Pekerja Filem Malaysia sebelum diubah pada 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd