mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon popular, Zahiril Adzim tidak kisah jika pempengaruh yang menceburi bidang lakonan dan nyanyian dibayar lebih tinggi berbanding artis kerana semua itu adalah rezeki masing-masing.
Namun, dia agak gusar apabila ada pelakon-pelakon baru yang menggunakan saluran betul untuk menjadi pelakon seperti hadir ke uji bakat, mengikuti kelas lakonan dan melanjutkan pengajian di bidang berkaitan tidak diberikan peluang.
“Sepatutnya mereka ini yang diberi peluang. Kalau ramai ‘influencer’ atau pempengaruh nak jadi pelakon, tiada masalah juga sebenarnya,” katanya.
Menurutnya, mungkin dalam ramai-ramai itu ada pelapis yang betul-betul berbakat boleh menjadi pelakon yang baik sekali gus boleh mendapat bayaran yang lebih baik.
“Tetapi, bila mereka sendiri tiada inisiatif untuk memperbaiki lakonan mereka, itu jadi masalah. Mereka terlampau sibuk nak buat ‘content’ (kandungan) lepas itu nak letak harga mahal, tak sepadan dengan bakat yang ada.
“Saya dah banyak kali dengar mereka mengenakan bayaran yang agak tinggi berbanding dengan pelakon sendiri, padahal jujur saya cakap mereka tak ada bakat.
“Mereka tak boleh berlakon, tak pandai berlakon dan apabila penggambaran, menyusahkan keseluruhan produksi. Rezeki saya, belum bertembung lagi dengan orang-orang ini depan mata,” katanya.
Bagaimanapun, Zahiril memuji jika mereka ada inisiatif mahu berlakon.
“Alhamdulillah jika ada. Macam saya cakap mana tahu dalam ramai-ramai itu ada yang betul-betul boleh berlakon.
“Mungkin asbab dia jadi ‘influencer’, kita dapat pelapis baharu. Tapi harap perbaikilah lakonan mereka.
“Manakala pelakon-pelakon baharu yang melalui saluran yang betul ini, yang ambil kelas lakonan, mereka tak diberi peluang. Akhir sekali mereka terasa beban dan akan buat benda yang sama seperti ‘influencer’ ini buat. Mereka akan mula menjadi ‘content creator’ dan ‘influencer’ untuk tembus ke dalam industri yang baginya satu cara yang tidak perlu dilakukan,” katanya.
Zahiril berkata, untuk jadi seorang pelakon, tak perlu sibuk membuat ‘content’, Instagram atau TikTok. Itu semua tak perlu. Bukan kerja kita. Kerja kita ialah berlakon dan perbaiki lakonan. Saya tengok artis-artis baharu dan rasa simpati kerana selain kena jaga lakonan dan kualiti lakonan, mereka juga kena jaga media sosial supaya pengikut naik dan tidak menurun.
“Saya pernah beritahu mereka, ini bukan kerja mereka. Bukan kerja kita nak kena ambil kisah pada media sosial. Pelakon-pelakon Hollywood pun ada yang tiada Instagram. Ia bukan masalah,” katanya.
Menurut Zahiril, perkara ini hanya bersifat sementara.
“Untuk pelakon-pelakon lama saya rasa tiada masalah untuk mereka. Pasal apa, saya percaya yang akhirnya penonton akan beralih semula kepada mereka.
“Mungkin pada awal-awal, penonton tengok mereka ini berlakon, tapi akan ada masa mereka nak tengok pelakon-pelakon sebenar berlakon.
“Kebanyakan cerita-cerita yang meletup dan popular di TV dilakonkan oleh pelakon yang betul-betul berlakon, yang ada pengalaman. Jadi saya tiada masalah dengan kemasukan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd