am@hmetro.com.my
Rantau Panjang: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) turun padang menyampaikan sumbangan RM60,000 kepada mangsa banjir di dua daerah di Kelantan.
Timbalan Presiden Karyawan, Radhi Khalid berkata, sumbangan diberikan kepada 300 penerima membabitkan mangsa banjir di Rantau Panjang serta Teluk Renjuna dan Pengkalan Kubor, Tumpat.
Katanya, sumbangan itu adalah salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui Program Misi Bantuan Banjir Karyawan bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) selama tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu.
“Alhamdulillah, Karyawan mendapat sokongan penuh daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) setempat dalam menjayakan misi bantuan banjir kali ini.
“Selain itu, sumbangan disampaikan berbentuk barangan keperluan seharian, makanan dan beg sekolah yang diharap dapat membantu meringankan beban mereka yang kehilangan harta benda akibat bencana ini.
“Dalam masa sama, bantuan disampaikan turut menjadi simbol bahawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi ujian, malah disokong oleh pelbagai pihak yang prihatin terhadap nasib mereka,” katanya dalam sidang media selepas Program Misi Bantuan Banjir Karyawan Bersama Yapeim di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang II, di sini, hari ini.
Radhi berkata, program sepanjang tiga hari itu turut menampilkan selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Mawi, Ezlynn, Ito Blues Gang, Serina Redzuawan, Noorshila Amin, Zur Eda dan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.
“Kehadiran semua artis ini bukan sahaja membawa senyuman kepada mangsa, tetapi juga menjadi bukti solidariti dan komitmen komuniti seni terhadap usaha membantu masyarakat yang memerlukan.
“Karyawan sebenarnya banyak terbabit dalam pelbagai kerja kemasyarakatan, termasuk program keagamaan seperti tahlil, korban dan pelbagai program amal bersama komuniti.
“Kami tidak hanya tertumpu kepada dunia hiburan semata-mata, tetapi sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dalam usaha memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.
Menurutnya, misi itu diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan rasa prihatin dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang supaya hidup lebih muhibah dan harmoni.
Katanya, CSR akan terus dijalankan daripada semasa ke semasa sebagai bukti keprihatinan Karyawan terhadap mereka yang memerlukan.
Sementara itu, salah seorang penerima, Azizah Che Wil , 40, mengucapkan terima kasih kepada Karyawan yang prihatin dengan membantu mangsa banjir, selain mengakui gembira dapat bertentang mata dengan barisan artis.
Katanya, selain dapat meringankan beban, kehadiran artis sedikit sebanyak dapat menghiburkan mereka yang terganggu daripada segi emosi selepas berhadapan banjir besar tempoh hari.
© New Straits Times Press (M) Bhd