norhayati_nordin@hmetro.com.my
Pemergian ke alam abadi, Allahyarham Datuk S Atan, Sabtu lalu disifatkan kehilangan sebutir lagi permata industri seni tanah air yang ‘genius’ dalam karya lagu genre pop dihasilkannya.
Terdahulu, S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said disahkan meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannnya di Kajang, Selangor pada jam 3.53 petang akibat komplikasi jantung.
Komposer dan penyanyi tersohor, Datuk M Nasir meluahkan rasa sedih dengan pemergian S Atan yang disifatkan tiada galang ganti dalam penciptaan lagu.
“Dalam perjalanan dunia seni muzik ini, kita akan dapat jumpa komposer (berbakat besar) macam Allahyarham S Atan boleh dikatakan 10 tahun sekali. Ini kerana orang macam arwah karyanya bagus dan besar.
“Saya masih ingat sekitar tahun 1970-an dan 1980-an dulu, itu adalah kemuncak kerjaya dan karya lagu yang dihasilkan arwah. Kemudian pada era berikutnya, dah muncul pula orang lain. Tapi, dia terus berkarya hingga kini.
“Tidak hanya itu, arwah juga pernah dilabel sebagai Raja Pop dalam bidang penciptaan lagu kerana kebanyakan karya seni ciptaannya menjurus pada genre pop,” katanya.
Berbicara mengenai kedekatan mereka, M Nasir berkata, dia tidaklah begitu rapat dengan Allahyarham kerana jarang berjumpa berikutan terikat komitmen kerja masing-masing, namun mereka sempat bertemu beberapa bulan lalu.
“Saya bukan selalu dengan dia (bertemu arwah). Kami ada jumpa pun dah sangat lama. Tetapi, antara kenangan yang saya ingat bersama arwah ialah dia pernah menjadi pemuzik dalam persembahan saya di Manchester, England pada 1997. Itulah satu-satunya tempoh yang lama saya dapat bersama dengan arwah semasa bekerja.
“Satu lagi yang saya ingat adalah semasa saya buat sebuah dokumentari berkaitan muzik. Saya pernah temubual arwah untuk kami berbincang mengenai perkembangan industri seni,” katanya.
Menurut M Nasir, dalam sesi luahan perbincangan itu memang arwah ada berkongsi kekecewaan dirasainya terhadap industri seni, namun Allahyarham tetap seorang komposer prolifik yang berbakat besar.
Sementara itu, penulis lirik berkaliber, Datuk Habsah Hassan, 75, pula sangat kagum dengan sifat komited dan kesungguhan ditunjukkan S Atan dalam berkarya.
“Arwah ini, sikap kesungguhan dalam dirinya memang hebat. Bagi mendapatkan hasil nyanyian lagu yang baik, dia sanggup membuat rakaman berulang-ulang kali sampai betul-betul dapat apa diinginkannya.
“Kesabarannya terhadap minat seni itu memang sangat baiklah. Dia tahu hasil yang macam mana dia nak dan di sebalik sikap garang itu, arwah juga banyak mengajar penyanyi memahami kehendak lagu,” katanya.
Jenazah S Atan dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sun
gai Kantan, Kajang pada jam 11.07 pagi, kelmarin.
Pada 16 September lalu, S Atan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di ibu kota kerana masalah jangkitan kuman dalam paru-paru.
Sebelum itu, Allahyarham juga pernah dimasukkan ke hospital pada 2006 kerana menghidap angin ahmar, selain pada Februari 2019, dia menerima rawatan masalah buah pinggang.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Norizan Yeob serta enam anak dan 10 cucu, termasuk empat daripada perkahwinannya yang terdahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd