Kapal nelayan asing dilupus, dijadikan tukun tiruan

Kapal nelayan asing dilupus, dijadikan tukun tiruan

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan sembilan kapal nelayan asing bagi dijadikan tukun tiruan selari dengan pendekatan kelestarian dalam pengurusan sumber laut.

Timbalan Ketua Pengarah Logistik APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata kesemua sembilan kapal tersebut ditenggelamkan antara September 2022 hingga baru-baru ini, keseluruhan bernilai RM15 juta.

“Dalam tempoh sama, APMM Terengganu menahan 40 nelayan asing yang menceroboh perairan negeri ini.

“Ia turut membabitkan rampasan vesel, peralatan dan hasil laut dengan nilai keseluruhan RM60 juta,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah APMM Terengganu antara Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid kepada penggantinya Kepten Maritim Hamiludin Che Awang, di sini hari ini.

Sementara itu, Saiful Lizan mengingatkan pengusaha bot tempatan yang akan membawa pemancing mencandat sotong supaya memastikan kelengkapan keselamatan sentiasa mencukupi dan melaporkan pergerakan mereka kepada APMM bagi memudahkan operasi penyelamatan sekiranya berlaku situasi tidak diingini.

Beliau berkata pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan dengan memfokus kepada keselamatan penggemar aktiviti itu di laut menerusi pengoperasian aset dan anggota secara 24/7.

Musim mencandat sotong di Terengganu pada tahun ini bermula sejak awal bulan ini dan dijangka berlangsung hingga September, dengan antara lokasi tumpuan pencandat sotong adalah di Pantai Marang, Pantai Teluk Bidara, Pulau Kapas dan Pulau Redang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top