Kantoi curi-curi putarkan jam

Kantoi curi-curi putarkan jam

mahaizura@mediaprima.com.my

Di sebalik perwatakan sopan dan warak, mungkin ramai tidak menyangka bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga pernah nakal ketika kecil.

Setiap kali tibanya Ramadan, beliau pasti terkenang memori lucu zaman kanak-kanak antaranya memutar jam bagi mempercepatkan waktu berbuka puasa selain mengacau jemaah solat tarawih.

Ikuti perkongsian peribadi Zulkifli yang pernah melakar sejarah menjadi mufti pertama dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 2020 mengenai memori berpuasa yang masih segar dalam ingatannya.

1. Pada usia berapa Datuk Seri mula berpuasa penuh?

Seingat saya, semasa darjah satu hampir penuh dan darjah dua sudah puasa penuh kerana zaman dulu berpuasa adalah semangat yang ditonjolkan ibu bapa.

Begitu juga guru sentiasa tanya kepada pelajar dan kanak-kanak agar berpuasa. Jadi, alhamdulillah puasa dapat dilakukan dengan jayanya.

2. Pengalaman tidak dapat dilupakan Datuk Seri ketika berpuasa?

Ada beberapa pengalaman memang menarik masa kecil dulu antaranya berbuka puasa di surau Kampung Kubang Kekura, Kuala Terengganu.

Biasanya sekali setahun waktu khatam al-Quran dipanggil Majlis Nnamat (penamat atau khatam), semua orang kampung secara potluck akan bawa satu hidangan.

Kita pilih makanan rumah orang kaya, sudah tentu makanannya sedap.

Itulah tradisi dibuat saban tahun, semuanya bawa dulang makanan untuk menjamu penduduk kampung berbuka puasa.

Selain itu, menjadi kelaziman di Terengganu apabila berbuka puasa adanya bunyi bedil atau meriam yang kuat dan tradisi ini berlaku setiap malam ketika berbuka puasa.

Begitu juga untuk penduduk di Kuala Terengganu, kita akan dengar bunyi itu sebagai tanda berbuka puasa, permulaan puasa dan hari raya. Alhamdulillah, suasana itu mengingatkan kita kepada zaman dahulu.

3. Memori Datuk Seri bersahur ketika kanak-kanak?

Semasa kanak-kanak, kadang-kadang ada masa kita tidak bangun atau terlewat maka itulah kita rasa kesal sangat kerana takut lapar.

Adalah sesekali berlaku seperti itu, tetapi masih lagi makan nasi dan benda (makanan) berat. Kita cuba makan banyak supaya kenyang.

4. Apa cabaran terbesar ketika berpuasa?

Semasa kecil biasanya selepas tengah hari, mula rasa lapar, tetapi alhamdulillah dapat berpuasa dengan baik.

Ayah saya garang, adalah masa itu umur saya tujuh ke lapan tahun, lambat sangat nak berbuka, jadi saya curi-curi putar jam di rumah supaya cepat sedikit, tetapi taktik saya berbuka awal tak menjadi kerana akhirnya diketahui ayah.

5. Kenangan paling berharga ketika solat Tarawih?

Sudah tentu suasana di kampung dengan tarawih 20 rakaat pada masa kecil nostalgia yang indah.

Masing-masing menjerit atau berselawat dengan paling kuat dan cukup meriah. Waktu itu saya suka kacau orang tengah solat tarawih.

Selain itu, tarawih di kota suci Makkah semasa belajar di Universiti Islam Madinah juga menarik kerana kali pertama saya melihat suasana seperti itu dan menginsafkan serta memahami betapa mereka bersungguh-sungguh melaksanakan tarawih.

6. Juadah wajib yang mesti ada di meja berbuka?

Walaupun ada juadah lain, sudah tentu nasi menjadi kemestian sifat orang Terengganu dan orang Malaysia.

Bahkan ketika saya berada di Madinah, nasi makanan utama yang dicari ketika berbuka di Masjid Nabawi.

7. Bazar Ramadan kegemaran Datuk Seri?

Saya tidak ada bazar kegemaran tetap, tetapi selesa dengan mana-mana bazar berdekatan rumah.

Alhamdulillah, bazar Ramadan sekarang agak banyak dan saya tidak spesifik satu bazar saja asalkan ada lauk yang memenuhi selera.

8. Makanan yang cuba Datuk Seri elakkan sepanjang Ramadan?

Makanan Barat. Bukan bermakna saya tak suka makanan Barat, tetapi saya lebih memilih lauk-pauk Melayu atau menu kampung.

Paling saya suka ialah kuih nekbat. Itu makanan khusus tradisi orang Terengganu yang payah hendak cari di tempat lain. Kalau ada pun tidak sesedap di sana.

9. Bagaimana Ramadan kali ini berbeza dengan tahun sebelumnya?

Tahun ini, memang saya rasa berbeza sedikit kerana sudah memulakan puasa sunat sejak Rejab.

Seolah-olah ia sudah terbiasa, tak macam tahun lalu. Alhamdulillah, puasa tahun ini lebih stabil dan tenang.

10. Apa perubahan positif yang Datuk Seri harapkan dan dapat diteruskan selepas Ramadan?

Sudah tentu mujahadah untuk meningkatkan amalan ini memang agak sukar, tetapi insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya mungkin.

Saya melihat puasa ini mengajar kita erti sebenar makna puasa itu yang menyebabkan kita akan faham betapa peri pentingnya kita melakukan amalan ini dengan sebaiknya.

11. Berapa rakaat biasanya Datuk Seri lakukan solat Tarawih?

Biasanya melihat masjid atau surau setempat dan sudah pasti sesuai dengan jadual saya. Pada asasnya lapan, 10 atau 20 rakaat.

Isu bilangan rakaat Tarawih ini sudah saya jawab dalam buku Ensiklopedia Solat. Ada beberapa pendapat ulama iaitu lapan, 10, 20, 36 dan ada yang tidak mengehadkannya.

12. Petua kesihatan diamalkan Datuk Seri sepanjang Ramadan?

Sudah tentu kita ikut sunah Nabi Muhammad SAW iaitu makan rutab atau tamar sebelum memulakan makanan lain serta minum air kosong, sebagai contoh. Itu pun bagi saya sudahpun memadai.

13. Datuk Seri lebih suka berbuka puasa di rumah, gerai atau secara bufet?

Ketiga-tiganya boleh, bergantung kepada jadual. Ada masa di rumah, gerai atau bufet bersama keluarga.

14. Sajian paling disukai ketika bersahur?

Saya rasa dengan usia sekarang ini, cukuplah dengan tamar dan air zamzam.

15. Macam mana persiapan raya Datuk Seri?

Daripada segi pakaian sudah memadai dengan apa yang ada. Saya tak terlalu memilih.

Alhamdulillah, persiapan yang lain tidak perlu sangat asalkan kita memenuhi sunah berhari raya iaitu bergembira.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top