Kane hampir tamat kemarau kejuaraan

Kane hampir tamat kemarau kejuaraan

Berlin: Selepas sekian lama dihimpit kritikan kerana ketandusan trofi, penyerang Bayern Munich, Harry Kane akhirnya berpeluang menamatkan penantian penuh derita apabila pasukannya berdepan Mainz awal pagi Ahad ini.

Kemenangan ke atas pasukan di tangga keenam itu, ditambah dengan kegagalan Bayer Leverkusen menewaskan Augsburg, sudah cukup untuk mengesahkan kejuaraan Bundesliga buat Kane dan Bayern – empat perlawanan sebelum musim berakhir.

Bayern kini lapan mata di hadapan dengan hanya empat perlawanan berbaki dan kejayaan itu bakal menjadi trofi sulung dalam karier Kane selepas kecundang dalam enam perlawanan akhir sebelum ini – tiga bersama Tottenham, dua bersama England dan satu bersama Bayern.

Pemain berusia 31 tahun itu meninggalkan Tottenham selepas dua dekad pada 2023 untuk memburu kejuaraan dan perpindahan bernilai €100 juta (RM510 juta) ke Jerman nyata mula membuahkan hasil.

Walaupun impian menjuarai Liga Juara-Juara musim ini musnah selepas dikecewakan Inter Milan di suku akhir, kejuaraan Bundesliga tetap dianggap penawar buat kempen 2023-24 yang hambar dari segi trofi.

“Saya tahu ramai yang hanya bercakap mengenai saya belum menang apa-apa sepanjang karier. Jadi akan jadi sesuatu yang manis untuk buktikan mereka salah,” kata Kane ketika ditemubual Februari lalu.

Jika berjaya, Kane bakal menyertai senarai kecil pemain England yang pernah menjulang Bundesliga, termasuk Kevin Keegan dan Owen Hargreaves.

Pengarah kehormat Bayern, Uli Hoeness yang memainkan peranan penting membawa Kane ke Munich menyifatkan penyerang England itu sebagai pemain yang cukup layak menjulang trofi musim ini.

“Dia seorang pejuang, rajin bekerja, menjaringkan gol luar biasa, dan yang penting sekali dia sangat komited untuk kejayaan pasukan. Tiada siapa yang lebih layak menang kejuaraan ini selain Kane,” kata Hoeness kepada Sky Germany.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top