Kanak-kanak susun kiub rubik 14.32 saat sambil tunggang basikal

Kanak-kanak susun kiub rubik 14.32 saat sambil tunggang basikal

CHENNAI: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di India mencatatkan Rekod Dunia Guinness selepas berjaya menyusun kiub rubik dalam masa yang singkat sambil menunggang basikal.

Lapor portal UPI, Jayadharshan Venkatesan dari Chennai, Tamil Nadu melakukan aksi itu dalam masa 14.32 saat.

Menurut Jayadharshan, permainan kiub rubik menjadi minat dan hobinya sejak kecil lagi.

Katanya, dia berlatih selama dua tahun untuk mengasah teknik susunan kiub termasuk kepantasannya sebelum mencuba cabaran rekod dunia tersebut.

Jayadharshan menamatkan aksi itu dalam masa 14.32 saat sekali gus memperoleh rekod bagi susunan kiub terpantas sambil menunggang basikal.

Sebelum ini, Jayadharshan mendapat pengiktirafan dari Asia Book of Records.

“Rekod itu diperoleh selepas Jayadharshan berjaya mengembalikan 60 kiub rubik kepada susunan asal dalam masa 30 minit.

“Malah, Jayadharshan melakukan aksi itu dengan hanya menggunakan sebelah tangan,” jelas laporan itu.

Scroll to Top