Kanak-kanak perempuan, ibu maut kereta terbabas selepas Terowong Menora

Kanak-kanak perempuan, ibu maut kereta terbabas selepas Terowong Menora

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan ibunya meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta di Kilometer 264.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora di sini semalam.

Mangsa, Naira Falisha Abdul Rahman yang parah maut di lokasi kejadian manakala ibunya, Nur Fatihah Badrul Hisham, 25, yang hamil pula menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9 pagi tadi ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Dalam kejadian sekitar pukul 6.45 petang itu, bapa mangsa Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, pula dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku selepas kereta jenis Perodua Bezza dipandu bapa mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam longkang.

Katanya, nahas berkenaan menyebabkan tiga beranak itu cedera parah namun kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

“Ibu dan bapa kanak-kanak itu segera dibawa ke Jabatan Kecemasan HRPB untuk rawatan namun wanita tersebut dan bayi dalam kandungannya disahkan meninggal dunia pada pukul 9 pagi tadi.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN

Scroll to Top