Kanak-kanak lemas di kolam renang apartmen

Kanak-kanak lemas di kolam renang apartmen

rnoraina@hmetro.com.my

Sepang: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas ketika mandi bersama keluarga di kolam renang sebuah apartmen di Puchong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, polis menerima laporan daripada pihak hospital pada 2.40 petang.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

“Sebelum itu, mangsa bersama keluarga yang menetap di Kampung Beserah, Kuantan, Pahang datang bercuti di rumah saudara mereka di perumahan berkenaan.

“Pada kira-kira 11.30 pagi, mangsa bersama ahli keluarga lain kemudian ke kolam renang untuk mandi.

“Tanpa pengetahuan ahli keluarga, mangsa masuk ke kolam dewasa dan lemas di kolam berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bedah siasah yang dijalankan oleh pihak hospital pada jam 9 pagi semalam mengesahkan kematian mangsa akibat lemas.

Norhizam berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top