Kanak-kanak cedera diserang kera liar

Kanak-kanak cedera diserang kera liar

am@hmetro.com.my

Dungun: Kanak-kanak lelaki cedera selepas diserang seekor kera liar di rumahnya di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) di sini, semalam.

Kejadian 3.30 petang itu menyebabkan Muhammad Ammar Hakim Sanusi, 10, cedera di bahagian badan, punggung dan lengan, akibat digigit dan dicakar kera terbabit.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam keluar dari rumahnya untuk pergi mengaji Al-Quran di sebuah rumah penduduk di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika ditemui mengesahkan kejadian.

Katanya, ketika budak itu berjalan keluar dari rumahnya, secara tiba-tiba seekor kera mengejar sebelum menerkam belakang mangsa.

“Kera terbabit dipercayai datang dari bahagian belakang kediaman mangsa. Akibat serangan itu, mangsa menjerit kesakitan dan meronta-ronta untuk melepaskan gigitan kera terbabit.

“Mangsa berlari untuk menyelamatkan diri namun kera terbabit terus mengejar dan menyerang mangsa,” katanya.

Ghazali berkata, ibu mangsa yang terdengar jeritan meminta tolong dari anaknya itu bergegas keluar dari rumah dan menghalau kera terbabit.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan AMBS sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

“Saya bersimpati dengan kejadian itu dan menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top