PASIR SALAK: Kanak-kanak lima tahun yang terperangkap dalam kereta dipandu ibunya yang terbabas dalam tali air di Kampung Bukit Chawi, Kampung Gajah di sini petang tadi ditemukan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, mayat Muhamad Harith Sulayman Mohd. Hanis ditemukan dalam kereta jenis Honda City pada pukul 8.15 malam.
Menurutnya, mayat dikeluarkan dari dalam kereta semasa kenderaan itu masih berada dalam air sebelum kereta ditarik ke darat.
Beliau berkata, ibu mangsa yang memandu kereta berjaya menyelamatkan anak perempuannya yang berusia empat tahun sebaik sahaja kereta mereka terjunam dalam tali air.
“Ibu mangsa tidak sempat menyelamatkan anak lelakinya kerana kereta semakin tenggelam berikutan paras air semakin tinggi disebabkan hujan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita dilokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 5.30 ketika tiga beranak itu dalam perjalanan dari Malim Nawar ke Ulu Dedap di sini.
Beliau berkata, kereta mangsa melanggar air bertakung di atas jalan raya sebelum terbabas lalu terjunam dalam tali air.
“Kereta ditemukan 80 meter dari tempat kenderaan itu terbabas. Mayat mangsa ditemukan di bahagian tempat duduk penumpang belakang kereta,” katanya.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah.
“Operasi dibantu anggota dari BBP Teluk Intan dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan,” katanya. – UTUSAN