am@hmetro.com.my
Kuantan: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi amaran supaya tidak mencabar ketegasan Kerajaan Negeri Pahang dalam kes pencerobohan tanah di negeri itu.
Katanya, kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan, ugutan atau helah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab sama ada individu atau berkumpulan.
“Oleh itu, kerajaan negeri bersama agensi penguatkuasaan akan terus memperhebat operasi pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan undang-undang.
“Kita akan pastikan bahawa tanah kerajaan dimanfaatkan untuk pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, bukan untuk kepentingan segelintir yang tamak dan tidak bertanggungjawab.
“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menceroboh tanah milik kerajaan secara haram.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencabuli kedaulatan dan maruah pentadbiran negeri ini.
“Pencerobohan tanah kerajaan adalah satu jenayah dan kerajaan negeri akan gunakan segala peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan setiap inci tanah yang diceroboh secara haram akan diambil kembali dan dipulihkan semula,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian pada sesi penggulungan menjunjung kasih titah diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Bagi menangani isu pencerobohan secara holistik, katanya, kerajaan negeri menubuhkan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi pengurusan dan pemantauan tanah.
“Antara GLC itu ialah Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK), Pahang Corporation, Pahang Mining Corporation, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan terbaharu, Pahang Gold.
“Selain itu, penubuhan Akademi Mineral Pahang dan Skim Pelombong Kecil adalah untuk membantu pemilik tanah mendapatkan lesen melombong secara sah.
“Ini antara usaha berterusan dan menyeluruh yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam memastikan pemuliharaan tanah, pemerkasaan undang-undang dan kelestarian negeri sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019, sebanyak 23 operasi pemusnahan dijalankan membabitkan kawasan seluas 1,362 hektar.
© New Straits Times Press (M) Bhd