nfazlina@nstp.com.my
Gua Musang: Kerajaan negeri Kelantan tetap komited untuk meneruskan khidmat kepada rakyat walaupun kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud turut berterima kasih kepada seluruh pengundi di Nenggiri yang menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Kerajaan negeri menerima keputusan pilihan raya ini dengan lapang dada dan kami menghormati pilihan yang dibuat oleh pengundi.
“Walaupun Perikatan Nasional (PN) tidak berjaya dalam PRK ini, kita komited dengan agenda berkebajikan dengan tetap akan menyantuni dan menjaga kebajikan warga Nenggiri melalui program dan skim yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri.
“Keprihatinan terhadap keperluan rakyat akan kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan dasar yang diambil,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh jentera Pas Kelantan termasuk rakan parti PN yang hadir berkampung menyantuni penduduk Nenggiri sepanjang tempoh pilihan raya ini.
“Segala usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan amat dihargai dan pasti Allah SWT membalas segala amal soleh yang dilakukan dengan ganjaran yang berlipat ganda,” katanya.
Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumum memenangi PRK Dun Nenggeri selepas memperoleh 9,091 undi, menewaskan calon PN Mohd Rizwadi Ismail 5,739 undi.
© New Straits Times Press (M) Bhd