Kami dihukum akibat kesilapan sendiri – McKema

Kami dihukum akibat kesilapan sendiri – McKema

Ipswich: Pengurus Ipswich Town, Kieran McKenna, menyaksikan pasukannya dihukum kesilapan sendiri apabila tewas 0-4 kepada Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Portman Road.

Penyerang Newcastle, Alexander Isak, mencuri tumpuan dengan hatrik, termasuk dua gol hasil kesilapan pertahanan Ipswich, manakala Jacob Murphy dan Anthony Gordon merobek pertahanan tuan rumah sepanjang perlawanan.

“Hari ini kami tidak beraksi di tahap terbaik. Sukar apabila mereka menjaringkan gol seawal perlawanan, tetapi kami sepatutnya mampu bangkit,” kata McKenna, merujuk gol pembukaan Newcastle selepas hanya 26 saat permainan bermula.

“Pengurusan permainan kami tidak mencukupi. Kami sepatutnya lebih kukuh ketika tempoh sukar untuk kekal dalam perlawanan, tetapi kami gagal melakukannya,” tambahnya.

Ketiadaan ketahanan jelas terasa apabila Newcastle mendahului 3-0 pada separuh masa pertama, sebelum Isak melengkapkan hatriknya sembilan minit selepas babak kedua bermula, sekali gus mengesahkan kemenangan pelawat.

Walaupun menjaringkan tiga gol, Isak turut membazir beberapa peluang, manakala pemain lain Newcastle juga hampir menambah jaringan ketika pertahanan Ipswich kelihatan kucar-kacir.

“Hari yang sukar, tiada keraguan. Kami jelas berada di tahap kedua terbaik,” kata penyerang Ipswich, Conor Chaplin.

“Saya rasa kami tidak membantu diri sendiri. Kami perlu lebih baik dalam mengurus permainan ketika berada di bawah tekanan, membuat keputusan individu yang lebih baik untuk menangkis ancaman.”

Ipswich kini merekodkan kekalahan kesembilan daripada 17 perlawanan liga, berada di tangga ke-18 dengan 12 mata, dua mata di belakang zon selamat.

McKenna bagaimanapun yakin pasukannya akan belajar daripada kekalahan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top