Kami dalam keadaan tenang – Bowen

Kami dalam keadaan tenang – Bowen

Blankenhain: Pengalaman England di kejohanan utama sejak kebelakangan ini menyaksikan mereka bersikap tenang di tengah-tengah kritikan terhadap persembahan Three Lions di Euro 2024, menurut penyerang West Ham, Jarrod Bowen.

Anak buah Gareth Southgate meraih empat mata daripada dua perlawanan pembukaan menentang Serbia dan Denmark tetapi gagal mencapai tahap yang diharapkan selepas diletakkan sebagai salah satu pasukan pilihan sebelum kejohanan.

England berada di tempat kedua terbaik untuk tempoh panjang ketika seri 1-1 menentang Denmark Jumaat lalu dan juga bergelut semasa separuh masa kedua dalam aksi kemenangan 1-0 ke atas Serbia.

Bagaimanapun, mereka sebelum ini bangkit di bawah kendalian Southgate daripada perlawanan kedua yang mengecewakan di peringkat kumpulan kejohanan utama.

Tiga tahun lalu, England mara ke final Euro 2020 selepas seri 0-0 dengan Scotland di Wembley dan mereka juga terikat tanpa jaringan berdepan Amerika Syarikat pada Piala Dunia 2022 sebelum mara ke suku akhir.

“Ia kedudukan yang sama seperti sebelum ini (pada dua kejohanan terakhir). Terdapat fikiran yang tenang di sekeliling kem daripada pemain yang pernah berada di sini,” kata Bowen kepada pemberita.

“Kami tenang dan bersedia untuk cabaran pada hari Selasa.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top