am@hmetro.com.my
Ipoh: Bukan setahun dua, bahkan 32 pembeli unit pangsapuri di Lebuh Meru Raya di sini sudah menunggu lebih lima tahun bayaran ganti rugi ditetapkan (LAD) akibat kelewatan penyerahan milikan oleh pemaju.
Mereka mendakwa pemaju lewat menyiap dan menyerahkan rumah sehingga melebihi tempoh 36 bulan dari tarikh perjanjian jual beli (S&P).
Kata mereka, meskipun sebahagian pembeli sudah membawa kes terbabit ke Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR), namun pemaju didakwa masih bersikap lepas tangan dan membisu apabila dihubungi pembeli, selain ada yang tidak pernah menerima satu sen wang pampasan.
Abdul Mokmin Nasharuddin, 41, berkata, dia membeli unit pangsapuri itu pada November 2015 dengan harga RM142,000.
Menurut penolong jurutera itu, mengikut S&P, tarikh akhir penyerahan milikan kosong sepatutnya pada 9 November 2018, namun dia hanya menerima kunci pada 11 September 2019 iaitu lewat 10 bulan.
“Pada mulanya saya buat tuntutan di pejabat pemaju, tetapi mereka tidak mahu bayar, jadi saya bawa ke tribunal (TTPR) pada 2020 mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.
“Award Tribunal yang dikeluarkan memerintahkan pemaju membayar kepada saya sebanyak RM13,089.70 secara dua kali iaitu masing-masing RM7,000 pada 1 Oktober 2020 serta baki RM6,089.70 pada 1 November 2020.
“Hingga kini, pemaju hanya bayar kurang RM4,000 sahaja dan masih belum jelaskan lebih RM9,000 lagi,” katanya ketika ditemui.
Bapa empat anak itu berkata, dia cuba menghubungi pemaju melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp berhubung baki bayaran serta menuntut penjelasan, tetapi tidak pernah dijawab sejak 2021.
Seorang lagi pembeli, Hatijah Ibrahim, 65, berkata, unit berharga RM145,000 yang dibeli sepatutnya diserahkan kepadanya pada 9 November 2018, namun dia hanya menerima kunci pada 11 September 2019 iaitu lewat 307 hari.
“Malangnya, hingga sekarang saya langsung tidak terima wang pampasan LAD,” katanya yang sepatutnya menerima pampasan LAD berjumlah RM12,195.89.
Pesara kerajaan itu berkata, akibat kelewatan penyerahan rumah, dia menanggung beban kewangan seperti sewa rumah dan pinjaman perumahan dengan bank.
“Kita kena bayar sewa (rumah) masa itu dah RM500. Untuk pembiayaan, bank tetap potong RM907 setiap bulan walaupun rumah belum siap, jadi memang terbeban sebab komitmen lain lagi termasuk sekolah anak.
“Saya sudah hantar surat dan emel kepada pemaju. Kita memang harap pemaju jelaskan kenapa kita belum dapat pampasan walau satu sen,” katanya yang juga setiausaha badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri itu.
Nasib serupa menimpa G Rajandran, 40, yang masih belum menerima sebarang wang pampasan LAD, selepas unit kediamannya diterima pada September 2019, hampir empat tahun selepas membelinya pada Disember 2015.
Kelewatan penyerahan rumah katanya, menyebabkan dia terpaksa menggadai barang kemas miliknya dan isteri untuk membayar hutang serta menyara kehidupan.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd