redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Sehingga semalam, dia terus ‘membisu’, tak langsaikan baki bayaran atau kongsi perkembangan terbaru. Kalau tak salah, kenapa nak lari?,” kata Arif Lee Tuar.
Dia yang mesra disapa Lee, 25, ketika ditanya sama ada sudah menerima bayaran balik atau tidak daripada Kim Seri selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan berkaitan dengan pakej pelancongan dengan syarikat pempengaruh berkenaan.
Menurut Lee, kali terakhir dia dan mangsa lain dapat tahu perkembangan mengenai kes berkenaan adalah ketika sesi penstriman langsung Kim Seri di TikTok pada 22 Disember lalu.
“Selepas itu, memang tiada kiriman mesej diterima daripadanya (Kim Seri) walaupun sebelum ini ada juga bersuara dalam kumpulan WhatsApp.
“Kiranya, dia memang diam saja dan bahagian saya yang belum dilangsaikannya adalah sebanyak RM3,000.
“Disebabkan terdesak, ada mangsa lain cuba tanya juga dengan ahli keluarga Kim Seri namun tak ada jawapan kerana ikutkan mereka pun tiada kaitan dengan hal itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Lee, dia dan rakan lain yang menjadi mangsa sudah buntu dan kini mengharap bantuan pihak berkuasa untuk campur tangan.
“Kami tak dapat buat apa, jadi minta pihak berkuasa untuk bantu menjejakinya kerana dia ada saja di sana (Korea Selatan).
“Untuk Kim Seri, tolong tepati janji dan jangan putar belit cerita lagi.
“Sebaiknya serah diri sebelum pihak berkuasa ‘angkut’ kerana buruk padahnya nanti,” katanya.
Sementara itu, Kim Seri atau nama sebenarnya Kim Seri, 40, atau nama sebenarnya Seri Azlina ketika diminta mengulas lanjut berkata, dia akan memaklumkan perkembangan terbaru mengenai hal itu petang ini.
“Salam petang sedikit saya balas ya,” katanya ringkas menerusi kiriman WhatsApp kepada Harian Metro.
Terdahulu, tular di media sosial video luahan seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan Kim Seri dan perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati serta meminta mangsa membuat laporan polis.
Sebelum ini, media melaporkan polis menerima 24 laporan berhubung individu mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang dikendalikan usahawan yang juga pempengaruh membabitkan kerugian mencecah RM454,450.
Dalam satu kenyataan dimuat naik di Insta Story (IG Story) miliknya pada 17 Disember lalu, Kim Seri memohon maaf kepada pelanggan terkesan dengan trip pelancongan yang tertunda di bawah syarikat miliknya.
Wanita itu memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan wang kepada pelanggan yang terbabit sebelum atau pada 1 Februari (semalam).
Menerusi satu sesi penstriman langsung di TikTok sebelum ini, Kim Seri tampil memberi penjelasan mengenai masalah berkenaan bagi menjawab persoalan orang ramai selepas kisahnya tular.
Kim Seri mendakwa kelemahan pengurusan, peningkatan kos dan kegagalan menguruskan kewangan perniagaan menjadi faktor isu berkenaan berlaku serta memohon maaf sekali lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd