bhhip@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pelakon Mira Filzah berjanji tidak akan menyembunyikan kehamilan jika beroleh rezeki menimang cahaya mata.
Reda menanti detik itu, Mira yang mendirikan rumah tangga dengan Wan Emir Astar, 31, pada 3 September lalu, memberitahu, jadual kerjayanya cukup sibuk sekarang.
Pelakon yang popular menerusi drama Bidadari Kiriman Tuhan itu sedar gosip dirinya berbadan dua timbul gara-gara foto dirinya mengenakan busana yang tampak menggelembung pada bahagian perut sehingga disangka hamil.
“Mungkin ketika itu, saya baru lepas makan. Foto pula dirakam dari sisi menyebabkan perut saya seakan buncit persis mengandung.
“Biasalah, apabila kita ‘single’ orang tanya bila hendak kahwin. Selepas berkahwin, ditanya pula bila hendak menimang cahaya mata. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya akan kongsi,” katanya kepada BH Online.
Sejak berkahwin, Mira yang juga Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 mengaku rezekinya bertambah murah biarpun popularitinya dikatakan merudum.
Malah, Mira terpaksa menolak sesetengah tawaran berikutan bimbang tidak mampu memberikan komitmen.
Tambahnya, jadual padat sehingga minggu ketiga Ramadan biarpun pada perancangan awal, dia mahu memperlahankan kegiatan seni bagi memberi tumpuan kepada ibadat dan rumah tangga.
“Alhamdulillah, tawaran masih ada sehingga ada yang terpaksa ditolak. Fokus saya tahun ini lebih banyak diberikan pada tanggungjawab sebagai duta produk.
“Saya bercadang mengosongkan jadual sepanjang berpuasa, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak kerja terpaksa diselesaikan sehingga berlarutan kepada Ramadan. Ini termasuk kerja penggambaran,” katanya.
Ketika ini, Mira berkata, dia sibuk berulang alik ke Port Dickson, Negeri Sembilan kerana terbabit dengan penggambaran.
“Syukur suami memahami dan tidak merungut walaupun ada masanya saya tidak pulang atau balik lewat sehingga jam 2 pagi,” katanya.
Selain berlakon, Mira masih mengendalikan program majalah wanita Nona terbitan TV3 untuk tahun keempat. Selagi khidmatnya diperlukan, Mira akan terus mencurahkan tenaga untuk program berkenaan.
Setakat ini, akui Mira, dia belum terfikir untuk meninggalkan program itu.
“Nona seperti sudah sebati dalam diri saya. Selagi ada rezeki bersama program itu, saya akan teruskan. Lagipun, Nona bukan calang-calang program, sebaliknya sudah bertapak lebih 30 tahun.
“Nona tidak pernah mengganggu jadual kerja yang lain. Jadi, tiada masalah untuk diteruskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd