‘Kalau arwah ayah masih ada, pasti dia bangga’

‘Kalau arwah ayah masih ada, pasti dia bangga’

Cepat atau lambat, sebenarnya, peminat dunia seni muzik tanah air seakan sudah boleh menjangkakan bahawa akan tiba suatu hari nanti, di mana seluruh keringat usaha, perjuangan, bahagia dan air mata anak jati Kuala Lipis, Pahang ini akan berbalas pada satu tahap yang paling membanggakan.

Hari istimewa itu akhirnya tiba jua. Tanggal 13 November 2024 mungkin tidak terpahat sekadar satu hari yang biasa buat wanita bernama Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin ini.

Ini kerana, pada hari tersebut, atas izin-Nya, satu sejarah telah tercipta buat penyanyi bersuara emas kesayangan ramai ini apabila dia dinobatkan sebagai Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.

Untuk meraih kedudukan itu, bukan semua penyanyi mampu kerana ‘harganya’ bukan sekadar dinilai daripada berapa banyak lagu atau berapa buah album seseorang itu telah hasilkan. Ia menuntut lebih daripada itu dan buat Siti, 29 tahun perjalanan kerjaya seninya adalah sebuah saksi.

Selepas Saloma yang menerima penganugerahan itu pada 1978 dan Datuk Sharifah Aini (2006), jejak langkah itu kemas diikuti oleh Siti yang sememangnya berkelayakan berada sebaris dengan dua ikon hebat negara tersebut tanpa prejudis.

Justeru, seketika menoleh semula pada liku-liku hidup sebagai anak seni, penyanyi berusia 45 tahun ini sukar menyeka air matanya yang sarat dengan rasa keharuan sambil mengenang asal usul diri sebagai seorang anak kampung dengan sejuta impian di dada.

“Sebab itu saya kenangkan semula bait lirik lagu kegemaran arwah ayah, Bunga Melur. Bagi saya, kiasan dalam lagu kesukaan arwah ayah ini mendalam. Iyalah, kami ini anak kampung yang mempertaruhkan bakat, memperjuangkan bakat yang Allah SWT kurniakan.

“Saya sendiri pun masuk dalam industri sebab bakat yang ada. Masa itu, memang biasa-biasa sahaja. Tak adalah pergi kelas vokal atau apa, tak ada pembelajaran khusus tentang muzik.

“Memang mempertaruhkan bakat yang diwarisi daripada nenek, datuk dan ibu. Memang bawa nama keluarga dengan hasrat nak bantu keluarga juga. Sama ada orang nak sanjung tak sanjung, saya anggap diri orang biasa sahaja,”katanya.

Luah Siti lagi, pada awal kemunculan, hasratnya cuma mahu mencuba yang terbaik sebagai seorang penyanyi.

“Sebab itu, kalau dengar semula pada bait hujung lirik lagu Bunga Melur itu, isinya umpama kita ini tidak tahu di akhirnya kita berada di keadaan yang baik atau tidak. Tetapi kalau disertakan dengan kesungguhan, dengan niat yang ikhlas, Insya-Allah ada tempat yang Allah akan berikan ganjarannya.

“Saya jadi sedih pula cakap pasal benda ini sebab ini juga kenangan dengan arwah ayah. Kalau dengar betul-betul bait lirik lagu itu, kita akan faham apa yang arwah ayah saya maksudkan.
“Kalaulah dia masih ada, mesti dia bangga,”ujar Siti.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Cindai ini turut mendedikasikan anugerah yang dimiliki buat semua karyawan seni yang baginya, telah sama-sama berjuang dalam industri seni muzik tanah air.
Malah, dalam kerendahan diri, Siti berkata, setiap perkara dalam dunia ini sekadar pinjaman dari-Nya.

“Apa yang ada hari ini, bukanlah selamanya. Selagi saya boleh berada di sini untuk menggembirakan orang, saya akan berikan yang terbaik. Niat saya apabila menyanyi ini adalah untuk menggembirakan hati orang sebab kita tidak tahu seseorang itu berada dalam keadaan sedih atau apa.

“Kalau dia jadi gembira kerana dengar lagu-lagu saya, atas izin-Nya, Allah akan berikan yang baik,”katanya.

Sejarah
Sementara itu, Siti turut berkongsi, sempena penganugerahan yang diterimanya itu, dia turut mengambil peluang untuk melancarkan single baharu berjudul Sejarah, ciptaan Erwin Gutawa.

Kata penyanyi ini, pada mulanya lagu itu akan dimasukkan dalam album ke-20 iaitu Sitism namun ditangguh.

“Untuk lagu Sejarah ini, pada mulanya nak dimasukkan dalam album sebelum ini tetapi kami ‘hold’ dahulu. Memang dalam banyak-banyak lagu, lagu ini saya rasakan ia perlu berdiri sendiri sebab muzik yang sangat besar kerana ia menggunakan orkestra dan ada beberapa perkara lain.

“Memang kita simpan dan tak tahu bila nak keluarkan. Saya sangat berterima kasih kepada Erwin yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya.

“Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ tuturnya.

Scroll to Top