Kalamullah 'punca' Penang kecewa – Wan Rohaimi

Kalamullah 'punca' Penang kecewa – Wan Rohaimi

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wan Rohaimi Wan Ismail akui penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz antara ‘punca’ utama menyebabkan Penang FC gagal meraih gol sekali gus tumbang 1-0 pada aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Katanya, kecemerlangan Kalamullah menyebabkan harapan Penang FC untuk cuba menebus kekalahan 1-0 di separuh akhir pertama di halaman sendiri gagal dan tersingkir dengan agregat 2-0.

“Saya memberi pujian kepada penjaga gol lawan yang beraksi cemerlang (khususnya di babak pertama) menindakkan peluang kami,” katanya selepas aksi itu.

Mengulas lanjut, Wan Rohaimi turut akui perbezaan kualiti antara kedua-dua pasukan menyebabkan skuad Harimau Kumbang terpaksa mengigit jari.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan cara komitmen dan kesungguhan pemain-pemain saya tetapi pada akhirnya kita akui perbezaan kualiti.

“Di mana kita tahu Selangor dibarisi pemain bintang dan Penang dibarisi pemain yang nak cakap sederhana mungkin tak tepat, tapi itulah apabila Alvin Fortes dapat satu peluang, dia dapat jaringkan gol.

“Pemain kita dapat berkali-kali peluang, gagal disudahkan. Tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan apa yang disajikan pada hari ini.

“Walaupun kami sedar akan tempuhi 90 minit yang getir, tapi kami berjuang hingga minit-minit akhir, itu yang saya bangga dengan pemain saya. Saya harap momentum ini akan dapat diteruskan untuk baki saingan liga (Liga Super) untuk memperbaiki kedudukan itu nanti,” katanya.

Pada aksi itu, gol tunggal perlawanan diraih menerusi ledakan pemain import tuan rumah Alvin Fortes pada minit 66, sekali gus jaringan itu kekal hingga wisel penamat untuk mengesahkan kemaraan Selangor FC ke pentas final berdepan PDRM FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top