Kalah kena, menang pun kena cemuh – Ali Puteh

Kalah kena, menang pun kena cemuh – Ali Puteh

KUALA LUMPUR : Pelawak, Ali Puteh, 33, menganggap dia tidak perlu gusar dengan cemuhan atau kritikan yang dilemparkan kepada dirinya dan keluarga berikutan laporan kekalahannya dalam kes saman membabitkan bekas kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali, semalam.

Menurut Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, ini berikutan dalam apa juga keadaan,membabitkan kes saman dan kemelut yang berlaku, dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan apalagi ia bukanlah satu perkara yang baharu.

“Dalam dua tahun ini, saya sudah bersedia menghadapi apa saja kecaman. Saya sudah maklumkan kepada keluarga, menang pun kita kena (hentam), kalah pun kita kena.

Jadi, saya tiada masalah dengan netizen sebab kita tahu apa yang kita lakukan dan apa sebenarnya yang terjadi,”katanya.

Ali berkata demikian semasa ditemui di perkarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, semalam juga mahkamah telah memerintahkan Ali untuk membayar kos sebanyak RM60,000 kepada bekas kakak ipar itu akibat mengeluarkan kata-kata aib di Instagramnya pada dua tahun lalu.

Ali memaklumkan akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi berikutan terdapat beberapa fakta yang didakwa tidak tepat.

Dalam pada itu, Ali juga menyatakan dia tidak akan membuat sebarang hantaran yang berbentuk luahan di akaun miliknya kerana khuatir akan mengganggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

“Kalau saya kongsikan apa-apa lagi di media sosial, saya bimbang akan berlaku masalah di Mahkamah Tinggi.

“Tentang netizen, saya memang tak risau apa-apa pun,”katanya.

Pada Mei 2020, Nor Hidayah telah memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagramnya yang antara lain menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.

Wanita terbabit memohon ganti rugi am, teladan atau punitif dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Dia juga memohon satu perintah injunksi bagi menghalang adik iparnya menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya, kod dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu dalam prosiding sama, mahkamah menolak saman fitnah yang dikemukakan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya lain terhadap Nor Hidayah dan usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri dengan kos sebanyak RM13,000.

Dalam prosiding semalam, Ali Puteh diwakili peguam, Noorazmir Zakaria manakala Nor Hidayah diwakili peguam Mohamed Ibrahim Mohamad manakala Alif Syukri diwakili peguam, Hasshahari Johari Mawi.

Kemelut antara kedua-dua individu itu tercetus selepas kematian Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.