Kakitangan sekolah antarabangsa rugi RM190,000 ditipu pelaburan mata wang digital palsu

Kakitangan sekolah antarabangsa rugi RM190,000 ditipu pelaburan mata wang digital palsu

JOHOR BAHRU – Seorang kakitangan sebuah sekolah antarabangsa di sini rugi RM190,000 selepas melabur dalam skim pelaburan mata wang digital palsu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 50 tahun membuat laporan polis selepas menyedari diperdaya semalam.

“Mangsa terpedaya dengan skim pelaburan itu setelah diperkenalkan seorang lelaki yang kelihatan hidup mewah dan dikenali melalui laman sosial Instagram.

“Suspek bertindak menawarkan mangsa pelaburan berkenaan dan turut menunjukkan graf keuntungan tinggi yang bakal mangsa perolehi sekiranya bersetuju untuk membuat pelaburan.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah memuatnaik aplikasi pelaburan berkenaan dan membuat enam transaksi pembayaran antara 10 Jun hingga 16 Julai berjumlah RM190,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa hanya sedar ditipu apabila diminta untuk membuat pembayaran tambahan bagi mengeluarkan sejumlah wang yang didakwa adalah keuntungan yang telah diperoleh atas pelaburan itu.

Mohd Sohaimi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kami turut menyiasat sama ada terdapat penglibatan ‘keldai akaun’, sekiranya didapati ada maka pemilik akaun akan dikenakan tindakan undang-undang.

Orang ramai katanya, diingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar dalam tempoh waktu singkat. – MalaysiaGazette