ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kakitangan Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalani beberapa latihan sebagai persediaan penambahan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi menampung keperluan pesakit COVID-19 di Lembah Klang.
Persediaan itu susulan keputusan kerajaan mengambil alih operasi HPKK buat sementara waktu untuk dijadikan pusat rawatan COVID-19 menerusi Ordinan Darurat.
Berkongsi persiapan yang dilakukan, Pro Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid, berkata kakitangan HPKK menjalani latihan penjagaan pesakit ICU daripada pakar bius sukarelawan MERCY Malaysia selama dua hari bermula semalam.
Ahli Majlis Hospital Pengajar UKM itu berkata, persediaan lain termasuk pembinaan kapasiti kakitangan HPKK sebagai bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan apabila HPKK mula beroperasi.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga menghantar pasukan mereka ke HPKK dan kerjasama erat antara UKM, KKM dan badan bukan kerajaan (NGO) amat penting dalam menjayakan program
ini.
“Persediaan rapi penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Pengorbanan semua pihak amatlah dialu-alukan dan didahului dengan ucapan penghargaan dan terima kasih,” katanya menerusi Facebook, semalam.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, kerajaan akan menggunakan Ordinan Darurat untuk mengambil alih dua hospital yang belum beroperasi, iaitu Hospital Cyberjaya dan HPKK UKM sebagai pusat rawatan COVID-19.
Ia susulan lonjakan jumlah pesakit COVID-19 di Lembah Klang, khususnya yang perlu ditempatkan di ICU dan memerlukan ventilator.
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani Ordinan Darurat pada 4 Jun lalu bagi membenarkan HPKK beroperasi sepenuhnya sebagai pusat rawatan COVID-19.
© New Straits Times Press (M) Bhd