Kakitangan diplomatik Korea Utara di Malaysia diusir

Kakitangan diplomatik Korea Utara di Malaysia diusir

Kuala Lumpur: Kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam mulai hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Menurut kenyataan itu, Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini.

Malah, Malaysia amat kecewa dengan keputusan yang dibuat Korea Utara dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat setia kawan sebagai anggota komuniti antarabangsa.

“Malaysia sudah menganggap Korea Utara sebagai rakan rapat sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada 1973. Malaysia antara negara terawal yang berbuat demikian dan sentiasa menyokong republik itu ketika mereka berdepan saat sukar walaupun selepas kejadian pembunuhan Kim Jong Nam pada 2017.

“Dalam hal ini, keputusan sebelah pihak Korea Utara tanpa alasan kukuh sudah tentu mengganggu keamanan, kestabilan dan kemakmuran di wilayah ini.

“Pada masa sama, keputusan Korea Utara itu juga memaksa kerajaan menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang yang operasinya ditangguhkan sejak tahun 2017,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia sebagai negara yang mendaulatkan undang-undang dan keadilan, memastikan proses ekstradisi rakyat Korea Utara, Mun Chol Myong dibuat mengikut prinsip undang-undang.

Malah, Malaysia turut mengetepikan beberapa tuntutan Korea Utara yang meminta kerajaan campur tangan dalam urusan sistem kehakiman dan perundangan negara.

“Proses ekstradisi dibuat selepas semua proses undang-undang diikuti. Hak Chol Myong ketika dalam tahanan di Malaysia turut dijamin dan dipenuhi termasuk akses kepada peguam serta lawatan oleh ahli keluarganya,” katanya.

Chol Myung ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 susulan waran tangkap mengikut Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992 susulan dakwaan konspirasi penggubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019. Permohonan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada 29 Disember tahun sama dan rayuannya di Mahkamah Persektuan pada 8 Oktober tahun lalu ditolak selepas mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya tidak berasas di bawah Akta Ekstradisi.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya memberitahu operasi Kedutaan Malaysia di Pyongyang ditangguhkan sejak tahun 2017 dan semua kakitangan diplomatik negara serta keluarga mereka sudah pulang ke tanah air sejak itu.

Korea Utara hari ini mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menurut Kementerian Luar Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.

Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.