Kaki judi serang pemain tenis di media sosial

Kaki judi serang pemain tenis di media sosial

Paris: Pemain tenis Perancis, Alice Tubello, membuat aduan mengenai penyalahgunaan dalam talian daripada kaki judi sukan selepas menerima 300 mesej kebencian susulan kekalahan terbaharunya, menurut sumber yang dekat dengan kes berkenaan kepada AFP.

Pemain berusia 23 tahun itu juga mengadu kepada pendakwa raya Paris mengenai kecurian identiti selepas sebuah halaman Facebook palsu, yang kini ditutup, dicipta dengan namanya dan menyiarkan fitnah yang mensasarkan keluarganya.

Pemain yang berada di kedudukan 219 dunia itu berkata, dia menerima gelombang kecaman selepas kalah di suku akhir di Arequipa, Peru, bulan lalu kepada pemain tempatan, Dana Guzman.

Alice mendakwa kekalahan itu mencetuskan gelombang kebencian daripada kaki judi sukan melalui akaun media sosialnya.

Apabila dihubungi oleh AFP, Alice mengecam ‘penyalahgunaan yang berulang dengan pertaruhan sukan, penaja organisasi tenis dunia’.

“Tidak kira kemenangan atau kekalahan, setiap kali selepas perlawanan, saya menerima mesej kebencian,” katanya.

“Saya bahkan pernah melihat kaki judi datang ke belakang pagar di kawasan hartanah saya.

“Keselamatan dipertingkatkan di kejohanan, tetapi masih ada fenomena penyalahgunaan dalam talian di bawah perlindungan anonimitas.”

Kandungan halaman Facebook palsu yang menggambarkan bapanya sebagai ‘seorang pesalah seksual’ atau menerbitkan mesej-mesej perkauman, adalah sangat menyedihkan.

“Mereka menyentuh keluarga saya, saya tidak akan berputus asa,” tegasnya, berharap agar penyiasat dapat mengenal pasti dan menangkap mereka yang terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd