zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat kes tertentu menunjukkan kos rawatan lebih tinggi dikenakan ke atas pesakit yang menggunakan surat jaminan (GL), berbanding pesakit yang membayar dahulu dan membuat tuntutan kemudian (pay-and-claim).
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, ia berdasarkan kajian dibuat ke atas bil tuntutan hospital swasta kepada syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO).
“Berikutan caj yang dikenakan kurang telus, kajian lebih terperinci perlu dijalankan untuk memahami dengan lebih lanjut isu pebezaan caj ini dan langkah susulan yang boleh diambil.
“Kerajaan peka terhadap isu ini, termasuk terhadap pengalaman rakyat yang disuarakan pada Sesi Pendengaran Awam yang dilaksanakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), baru-baru ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai senarai 10 jenis penyakit paling kerap dituntut dalam insurans perubatan oleh rakyat Malaysia dan perbezaan caj hospital swasta mengikut bayar dahulu dan tuntut kemudian serta GL.
Pada Disember tahun lalu, Ahli Parlimen PKR dalam kenyataan bersama, berkata caj perubatan yang berbeza sehingga empat kali ganda dikesan berlaku antara pemegang insurans dan pesakit yang membayar tunai.
Kenyataan oleh Tze Tzin, Jimmy Pua (Tebrau), Taufiq Johari (Sungai Petani), Chiew Choon Mun (Miri) dan R Yuneswaran (Segamat) serta Bob Manolan memaklumkan perkara itu didedahkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam taklimat kepada Ahli Parlimen.
Sebagai contoh katanya, pesakit denggi yang menggunakan GL akan membayar RM4,978, manakala pesakit ‘pay and claim’ hanya membayar RM1,288.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, kerajaan melalui KKM dengan kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan, hospital swasta dan pihak ITO sedang mencari penyelesaian jangka panjang berhubung isu caj perubatan itu.
“Kerajaan akan mengutamakan reformasi kesihatan yang menyeluruh untuk menangani isu inflasi kos perubatan dan caj di hospital swasta, termasuk meningkatkan kos ketelusan ubat-ubatan serta kos perubatan lazim.
“Pelan tindakan bersepadu ini sudah pun dibentangkan ke PAC, semalam,” katanya.
Sementara itu, Hui Ying memaklumkan berdasarkan dapatan awal pangkalan data tuntutan bersepadu industri insurans dan takaful, antara jenis penyakit yang mencatatkan kekerapan tuntutan tinggi bagi rawatan di hospital pada 2023 di bawah insuran dan takaful perubatan dan kesihatan, termasuk pneumonia, masalah berkaitan tulang belakang, masalah sistem pencernaan, penyakit jantung serta kecederaan sendi dan ligamen, seperti dislokasi dan terseliuh.
Selain itu, penyakit apendiks akut, jangkitan virus dan influenza, masalah lain berkaitan saluran pernafasan, penyakit berkaitan telinga hidung dan tekak serta demam.
© New Straits Times Press (M) Bhd