Gerak misi rumah ke rumah bakal bermula 28 April ini apabila Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan kutipan data bagi Kajian Indeks Perpaduan Nasional Ketiga (IPNas Ke-3) di seluruh negara.
Ketua Setiausaha KPN, YBhg. Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi mengumumkan perkara tersebut semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Dataran Darulaman, hari ini.
Kementerian Perpaduan gerak misi rumah ke rumah
Kutipan data akan dilaksanakan secara bersemuka oleh para penyelidik yang turun ke lapangan menggunakan borang soal selidik yang telah disusun rapi berdasarkan peta Blok Perhitungan (BP) dan Tempat Kediaman (TK) daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Datuk Haji Ruji, rakyat diminta memberikan kerjasama penuh sepanjang proses ini dijalankan.
“Proses kutipan data ini akan dijalankan secara bersemuka dengan menggunakan Borang Soal Selidik dari rumah ke rumah berdasarkan kepada peta Blok Perhitungan (BP) dan Tempat Kediaman (TK) yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Justeru, KPN berharap agar rakyat Malaysia dapat memberikan sepenuh kerjasama kepada para penyelidik di lapangan bagi mendapatkan data berkaitan kajian ini,” katanya.
Sekadar info, IPNas merupakan satu-satunya indeks rasmi kerajaan bagi mengukur tahap perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kajian terakhir menunjukkan skor IPNas adalah 0.629 pada tahun 2022, meningkat daripada 0.576 pada tahun 2018, dan tahun ini KPN menyasarkan untuk capai skor 0.7.
Sementara itu, Negeri Kedah menjadi negeri kedua menganjurkan Minggu Perpaduan selepas Melaka, manakala Pulau Pinang akan menjadi lokasi utama sambutan peringkat kebangsaan pada 16 hingga 20 Julai 2025.
Sambutan Minggu Perpaduan merupakan antara inisiatif di bawah kerangka Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, yang bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan dan menghargai kepelbagaian budaya masyarakat di Malaysia, selaras dengan nilai MADANI iaitu Hormat.
Artikel lain: PRK Ayer Kuning: Menteri Perpaduan seru kempen bertanggungjawab, elak sentimen 3R
Di Kedah, program berlangsung dari 17 hingga 19 April dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pameran Rumah KAMI (rumah etnik), jualan FoodUnites, Fun Walk Baju Tradisi, persembahan silang budaya, Bicara Perpaduan, Tayangan Wayang Pacak serta karnival ekonomi dan pameran agensi kerajaan.
Dalam masa sama, Datuk Haji Ruji turut merasmikan Program Jejak Harmoni Bersama Warga Emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Alor Setar. Program ini merupakan usaha KPN dalam menyebarkan mesej keharmonian antara rakyat berbilang bangsa dan agama.
Sebagai simbolik, beliau turut menyampaikan Bakul Harmoni kepada 30 warga emas, sebagai tanda prihatin dan semangat kebersamaan yang terus dipupuk kerajaan dalam Malaysia MADANI.