am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dadah sintetik atau istilah teknikalnya Bahan Psikoaktif Baharu (NPS) juga dikenali sebagai Designer Drugs yang boleh dijual dalam bentuk cecair atau serbuk serta dicampur dalam bahan lain adalah ancaman baharu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dadah sintetik adalah dadah yang dihasilkan secara kimia sepenuhnya dan ia tidak dapat dikesan melalui kaedah konvensional kerana bahan yang diproses dan dijual oleh sindiket mempunyai struktur tersendiri berikutan perubahan prinsip kimianya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, terdapat beberapa kaedah digunakan oleh forensik dan Jabatan Kimia bagi mengesan dadah yang dihasilkan menggunakan bahan kimia itu, namun ia bukan penyelesaian pantas serta memerlukan masa untuk mengoptimumkan analisis bagi setiap jenis dadah yang berbeza.
Katanya, kebanyakan sindiket sudah bertukar kepada penghasilan dan pengedaran dadah jenis NPS berikutan kosnya yang lebih rendah selain lebih mudah dipasarkan dalam bentuk serbuk atau cecair sebelum dibakar atau disedut pengguna.
“Kemunculan dadah baharu itu sememangnya membebankan pihak berkuasa dari segi pengawasan dan pengecaman.
“Ia turut membebankan pengamal perubatan sebagai responden awal untuk memberi bantuan kecemasan kepada mangsa jika mengalami keracunan stimulan yang asing atau baru.
“NPS sangat berbahaya kerana mangsa sebenarnya tidak menyedari bahawa paras poten bagi NPS itu melebihi paras poten untuk opiat atau candu sehingga ia mampu mengakibatkan kematian jika dos berlebihan,” katanya.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC) mendapati antara NPS yang dikesan adalah ‘kannabinoid sintetik’ yang 10 hingga 100 kali lebih poten berbanding ganja.
Menurutnya, kannabinoid sintetik yang siap diproses menjadi serbuk berpotensi untuk dilarutkan dalam cecair rokok elektronik untuk memberi kesan khayal sama seperti ganja.
Kata beliau, kesan klinikal yang dialami mangsa apabila mengambilnya tanpa kawalan adalah seperti degupan jantung kencang, tekanan darah tinggi, pucat, sawan dan pitam.
Berikutan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyenaraikan NPS berkenaan ke dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Jadual Pertama Akta Racun 1952 pada tahun lalu.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, NPS juga memberi cabaran besar kepada PDRM kerana kebanyakan pegawai dan anggota bertugas di lapangan tidak mempunyai latar belakang Kimia Organik, malah mereka juga berdepan risiko dari segi sentuhan dan pernafasan apabila berada di lokasi makmal dadah.
Menurut beliau, ahli kimia ‘gelap’ yang menghasilkan NPS sentiasa berinovasi dan adanya mereka itu yang berpengetahuan memproses dadah sintetik dalam sindiket menyebabkan pihak berkuasa juga perlu mengembleng tenaga kepakaran untuk mendalami analitik kimia narkotik.
© New Straits Times Press (M) Bhd