kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kadar pengangguran negara pada Oktober 2024 kekal pada paras 3.2 peratus, menunjukkan penurunan jumlah penganggur kepada 551,400 orang.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, keadaan pasaran buruh kekal optimis selaras dengan perkembangan ekonomi negara.
Katanya, ini dapat dilihat melalui peningkatan guna tenaga dan penurunan kadar pengangguran secara konsisten.
“Jumlah tenaga buruh terus meningkat sebanyak 0.1 peratus, mencatatkan 17.27 juta orang berbanding 17.24 juta orang pada bulan sebelumnya. Pada masa sama, kadar penyertaan tenaga buruh kekal stabil pada 70.5 peratus.
“Manakala, jumlah penduduk bekerja juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.72 juta orang. Bilangan penganggur pula turun sebanyak 0.7 peratus, berbanding 555,300 orang pada September 2024,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, walaupun kadar pengangguran kekal pada 3.2 peratus, trend penurunan ini memberikan gambaran positif.
Beliau berkata, kategori pekerja merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, dengan peningkatan kecil kepada 12.53 juta orang.
Seterusnya, bilangan pekerja sendiri juga mencatat pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus, kepada 3.10 juta orang.
“Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama dengan peningkatan dalam aktiviti seperti perdagangan borong, runcit, makanan, minuman dan pengangkutan.
“Sektor Pembuatan dan Pertanian turut menunjukkan pertumbuhan positif dan bagi kategori penganggur aktif, ia meliputi 79.8 peratus daripada keseluruhan penganggur, dengan jumlah menurun kepada 440,000 orang,” katanya.
Menurutnya, penganggur jangka panjang yang melebihi setahun pula hanya 6.4 peratus daripada jumlah ini.
Sementara itu, kadar pengangguran belia (15-24 tahun) turun kepada 10.4 peratus pada Oktober 2024, mencatatkan 301,500 orang berbanding 304,200 pada September lalu.
Bagi belia berumur 15-30 tahun, kadar ini kekal pada 6.3 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd