Kadar jenayah indeks menurun di Kedah – Utusan Digital

Kadar jenayah indeks menurun di Kedah – Utusan Digital

LANGKAWI: Kadar jenayah indeks di negeri ini mencatatkan sebanyak 3,822 kes pada tahun lalu iaitu menunjukkan penurunan pada kadar 7.5 peratus pada 2020.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 4,133 kes jenazah indeks yang direkodkan di negeri ini pada 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar jenayah komersial meningkat terutamanya jenayah penipuan yang mencatatkan sebanyak 1,881 kes pada 2021 berbanding 1,125 kes pada tahun sebelumnya.

“Daripada jumlah 1,881 kes pada tahun 2021, sebanyak 90 peratus kes adalah merupakan kes penipuan yang merangkumi jenayah penipuan seperti Macau Scam sebanyak 397 kes, Love Scam (98 kes), pinjaman wang tidak wujud (297 kes), pelaburan tidak wujud (214 kes) dan tipu belian dalam talian (593 kes).

“Peningkatan kes penipuan adalah perubahan trend jenayah daripada jenayah bersemuka kepada secara dalam talian disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, jumlah kerugian disebabkan jenayah kes komersial juga meningkat sebanyak RM11,079.937.52 iaitu kerugian sebanyak RM28,899,760.03 pada tahun 2021 berbanding sebanyak RM17,819,822.51 pada 2020.

Selain itu, tambahnya, kadar jenayah kekerasan juga meningkat sebanyak 10.95 peratus, jenayah harta benda meningkat 11.14 peratus dan jenayah narkotik menunjukkan peningkatan 28.5 peratus.

“Kemalangan jalan raya pula menunjukkan penurunan kes apabila mencatatkan 18,327 kes pada 2021 berbanding 19,490 kes pada tahun 2020 iaitu penurunan sebanyak enam peratus,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga berjaya mengutip sebanyak RM10.9 juta daripada kutipan saman sempena tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik sehingga 80 peratus bermula dari 9 hingga 29 Disember lalu.

Menurutnya, tempoh tawaran pengurangan kadar kompaun itu berakhir pada 31 Desember lalu. – UTUSAN ONLINE