“Kadang-Kadang Rasa Saya Lebih Melayu Daripada Orang Melayu”

“Kadang-Kadang Rasa Saya Lebih Melayu Daripada Orang Melayu”

Pelakon dan penyanyi Dr. Soo Wincci berkata dia seolah tidak percaya sudah 14 tahun mengamalkan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan.

Memetik Kosmo, Wincci berkata setiap tahun dia belajar perkara baru dan dengan mengamalkan berpuasa banyak kebaikan diperoleh dari segi kesihatan.

BACA: Bergelar Profesor Madya, Soo Wincci Jadi Pensyarah Di UiTM

“Saya ingat paling maksima saya akan berpuasa adalah lima tahun sahaja. Tetapi tahun ini sudah tahun ke-14. Setiap tahun saya akan belajar perkara baharu.

“Seperti tahun ini, akhirnya saya faham apa yang tubuh saya perlukan untuk bertahan selama 13 jam berpuasa. Jadi saya cipta resepi bebola kurma untuk dimakan sewaktu sahur,” katanya.

Sementara itu, mengimbau semula kali pertama dia berpuasa, pada awalnya dia mengalami kesukaran untuk menahan lapar dan dahaga, namun dia sudah membiasakan diri serta turut berpuasa enam dan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.

“Mula-mula dulu memang susah. Saya pula memang ikut betul-betul waktu berpuasa dan berbuka seperti orang Islam. Lama-kelamaan saya mula membiasakan diri. Malah saya juga turut berpuasa enam dan mengamalkan puasa sunat hari Isnin dan Khamis,” kongsinya.

Bukan hanya berpuasa, Wincci turut menyambut Hari Raya Aidilfitri sama seperti umat Islam yang lain. Malah, pada Hari Raya wajib baginya untuk menikmati juadah ketupat dan rendang.

“Kadang-kadang saya rasa saya lebih Melayu daripada orang Melayu. Hari raya saya wajib ada ketupat dan rendang. Bagi saya makanan ini sangat istimewa untuk dimakan sewaktu hari raya,” katanya.

SUMBER: Kosmo


Scroll to Top