Turin: Pengendali Juventus, Thiago Motta berharap pertemuan Serie A menentang Cagliari Isnin ini dapat membantu pasukannya melupakan kekecewaan tersingkir dari Liga Juara-Juara (UCL) selepas tewas kepada PSV Eindhoven di pusingan play off.
Juventus dikecewakan PSV dengan kekalahan 1-3 pada aksi kedua Khamis lalu, sekali gus tersingkir dengan agregat 4-3.
Kekalahan itu menyaksikan Bianconeri kini menghuni tangga keempat Serie A dengan 46 mata selepas 25 perlawanan, 10 mata di belakang pendahulu, Napoli.
“Selepas kekecewaan sebegini, perkara terbaik adalah turun ke padang dan bermain. Kami tahu cabaran yang menanti dan kami perlu berusaha untuk menang,” kata Motta dalam sidang media.
“Kami amat kecewa kerana kami percaya mampu mara ke pusingan 16. Tetapi sekarang, kami perlu bangkit semula dan fokus kepada perlawanan seterusnya. Minggu ini masih padat dan kami perlu bijak seperti biasa.
“Media Itali melaporkan Motta mengadakan pertemuan dengan pemain selepas tersingkir dari UCL dan menuntut lebih intensiti dalam permainan mereka.
Ditanya mengenai perbincangan itu, Motta berkata: “Mereka memahami segala-galanya, dan kami sentiasa memberikan usaha maksimum.
“Pemain kami bijak dan berkebolehan, mereka tahu apa yang kami mahukan. Kadangkala, walaupun perbezaannya tidak besar, lawan tetap lebih baik daripada kami.”
Juventus membelasah Cagliari 4-0 dalam pertemuan terakhir mereka di Piala Itali Disember lalu, tetapi dua pertemuan Serie A sebelum ini berakhir dengan keputusan seri.
“Sudah banyak perlawanan berlalu sejak kami menentang Cagliari dalam liga dan Piala,” kata Motta.
“Ia bukan gelanggang yang mudah untuk mana-mana pasukan, tetapi kami yakin boleh memberi kesukaran kepada mereka, mendapatkan tiga mata dan terus maju.
“Motta turut memuji penyesuaian Timothy Weah yang beraksi di posisi lebih bertahan sebagai bek kanan selepas Juventus mengalami krisis kecederaan di benteng pertahanan.
“Saya lihat dia sangat baik dalam peranan ini. Dia bertahan dengan baik, agresif dan menang banyak duel,” kata Motta.
“Dia masih boleh meningkat dalam posisi itu dan memberi sumbangan besar dalam fasa serangan. Saya sangat gembira dengannya, dan jika dia boleh menjaringkan gol, itu satu bonus.”
© New Straits Times Press (M) Bhd