Justin ditemani keluarga di Masters Thailand

Justin ditemani keluarga di Masters Thailand

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh mendapat tonik tambahan menjelang Masters Thailand, bermula esok.

Justin menerima kejutan apabila kehadirannya ke Thailand kali ini ditemani ahli keluarga yang akan bersama-sama dengannya di kejohanan berkenaan.

Itu bermakna, dia tidak akan keseorangan menyambut perayaan Tahun Baru Cina di perantauan, Rabu ini.

Nyata itu satu kejutan buat Justin yang tidak menyangka kehadirannya di Thailand kali ini akan ditemani oleh keluarga.

“Saya terkejut sebab tak tahu mereka merancang untuk ikut saya sehinggalah mereka beri tahu sudah beli tiket penerbangan.

“Perkara ini sudah pasti buat saya gembira kerana kehadiran keluarga akan memberi semangat luar biasa untuk saya beri yang terbaik nanti,” katanya.

Justin berkata, memang sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya menyambut Tahun Baru Cina di luar negara disebabkan perlu menyertai kejohanan.

Namun, kali ini berbeza apabila perjuangannya dan perayaan Tahun Baru Cina akan disambut bersama keluarga di Thailand.

Di Masters Thailand, Justin yang menghuni ranking ke-53 dunia akan membuka tirai kempen menentang pemain daripada pusingan kelayakan.

Sekiranya melepasi halangan pusingan pertama, dia akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain Singapura, Jason Teh dengan Misha Zilberman dari Israel.

Mengulas mengenai sasarannya, Justin berkata, dia tidak meletakkan sasaran tinggi, sebaliknya mahu menggunakan segala ilmu yang diturunkan oleh ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu, Kenneth Jonassen.

“Masters Thailand adalah kejohanan pertama saya tahun ini, saya tak mahu fikir terlalu banyak, cuma ingin berikan yang terbaik.

“Saya akan cuba untuk gunakan segala ilmu diajar Jonessen dan walaupun baru dua minggu berlatih dengannya, saya rasa selesa dan yakin ia mampu melonjakkan prestasi,” katanya.

Pada saingan musim lalu, Justin merangkul dua gelaran dalam kejohanan tahap rendah iaitu di Cabaran Antarabangsa Terbuka Slovenia dan Dove Saipan di Kepulauan Mariana Utara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top