JOHOR BAHRU: Seorang juruteknik syarikat cari gali mengalami kerugian hampir RM1 juta akibat terpedaya dengan pelaburan dalam talian.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki berusia 48 tahun yang tampil membuat laporan semalam mendakwa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang menawarkan pelaburan secara dalam talian ketika dia di tempat kerja di Iraq, Ogos lalu.
“Pelaburan dalam talian itu menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh sejam. Tertarik
dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa memuat turun aplikasi yang diarahkan dan membuat pendaftaran dalam aplikasi itu.
“Ketika mangsa berada di Kota Tinggi, pada pertengahan September hingga bulan ini, mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza berjumlah RM908,305,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa turut mengikuti kelas secara dalam talian menerusi pautan yang diberikan suspek yang menjelaskan berkaitan cara-cara urus niaga dan keuntungan yang akan diperoleh.
Selepas bayaran dibuat, mangsa mendapati aplikasi yang dimuat turun memaparkan pelaburan yang dilakukannya mencatatkan keuntungan berjumlah RM8 juta.
“Mangsa berhasrat untuk mengeluarkan wang keuntungan itu, namun mangsa telah diarahkan untuk membuat pembayaran sebanyak RM100,000 sebagai wang deposit. Mangsa tidak membuat bayaran tambahan yang diminta dan percaya dirinya telah ditipu,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-UTUSAN