June Wei kaut RM303,000 daripada Piala Lin Dan

June Wei kaut RM303,000 daripada Piala Lin Dan

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Cheam June Wei berjaya menambah koleksi gelaran juara dalam kariernya apabila menjuarai Piala Lin Dan.

June Wei yang berusia 27 tahun menewaskan Zhou Ze Qi dari China dengan keputusan 14-21, 21-6, 21-16 untuk memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Macau Piala Lin Dan dan membawa pulang hadiah wang 300,000 yuan (RM182,000) di Studio City Event Centre di Macau.

Jumlah itu mengatasi AS$31,500 (RM135,000) yang diterima Viktor Axelsen dari Denmark kerana memenangi Terbuka Hong Kong semalam.

June Wei kini mengumpulkan pendapatan keseluruhannya dari Piala Lin Dan sebanyak 500,000 yuan (RM303,000) selepas turut meraih 200,000 yuan (RM121,000) selepas menang di Piala Lin Dan di Shenzhen Jun lalu.

Kekalahan June Wei pada pusingan pertama pertama Terbuka Hong Kong kepada pemain Perancis, Christo Popov, 10-21, 19-21 nyata memberi rahmat kepada dirinya kerana dapat menyertai Piala Lin Dan berikutan kejohanan berkenaan hanya berlangsung dua hari iaitu dari 14 dan 15 September selain jarak yang dekat dari Hong Kong ke Macau.

“Saya membuat keputusan untuk menyertai kedua-dua kejohanan itu. Jika saya beraksi dengan baik di Hong Kong saya akan melupakan Piala Lin Dan.

“Namun, ia sebenarnya bukan mudah untuk menang, kami sebenarnya perlu bermain sebanyak tujuh perlawanan dalam tempoh 24 jam, empat dalam peringkat kumpulan pada hari pertama dan kemudian tiga dalam pusingan kalah mati keesokan harinya.

“Selain itu, kejohanan itu masih berkualiti tinggi kerana terdapat beberapa bekas pemain kebangsaan. Format pemarkahan juga berbeza (sistem 31 mata di peringkat kumpulan dan kalah mati), jadi anda benar-benar perlu menyesuaikan diri dengannya dengan baik,” katanya.

“Saya sangat gembira kerana menang. Hadiah wang adalah lumayan, walaupun dengan potongan cukai 20 peratus. Wang kemenangan ini penting untuk saya sebagai pemain profesional kerana ia akan membantu membiayai perbelanjaan kejohanan masa depan saya pada Jelajah Dunia BWF,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd