aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran gembira dengan prestasi dipamerkan anak didiknya, Leong Jun Hao yang muncul naib juara di Masters Kumamoto di Jepun, semalam.
Ia adalah pencapaian membanggakan dan berharap bekas juara Asia itu akan mendapat keyakinan lebih tinggi apabila turun beraksi di Masters China yang akan membuka tirainya esok.
Kata Yogendran, semangat yang dipamerkan Jun Hao amat luar biasa ketika tiada sasaran tinggi diletakkan kepadanya.
“Sebenarnya sebelum ke Jepun, dia memang buat persiapan dengan bagus. Saya berharap dia dapat keluarkan ‘game’ sama atau lebih bagus di China nanti.
“Yang penting, apa yang dia capai di Jepun itu akan beri dia keyakinan dan berasa lebih baik. Dia dapat faham lebih banyak tentang diri dia sendiri dan bagaimana untuk dia keluarkan permainannya,” katanya.
Terdahulu pemain ranking ke-31 dunia terpaksa akur tewas kepada pemain China yang juga pemain nombor sembilan dunia, Li Shi Feng 10-21, 13-21 di pentas akhir Kumamoto Masters yang berstatus Super 500 BWF.
Pada saingan China Masters, Jun Hao akan membuka tirai perlawanan berdepan lawan di ranking ke-33 dunia dari Jepun, Takuma Obayashi.
Sekiranya layak ke pusingan kedua, dia akan berdepan sama ada pemain di ranking ke-20 dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu atau pemain ketiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen.
Manakala pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia akan berdepan dengan pemain India yang layak ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024, Lakshya Sen di pusingan pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd