mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao sudah mula menunjukkan dia sudah bersedia menggegarkan arena badminton dunia pada masa akan datang.
Situasi terbabit dilihat apabila pemain itu cukup ‘licik’ mencari jalan untuk memenangi perlawanan dalam situasi sukar disifatkan sebagai elemen penting yang akan membentuknya menjadi pemain bertaraf dunia.
Menurut ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen kebolehan itu adalah salah satu ciri utama pemain elit yang mampu bertahan dalam saingan kompetitif di peringkat tertinggi.
“Dia semakin memahami bahawa kemenangan tidak hanya datang daripada permainan yang sempurna, tetapi juga daripada kebolehan untuk menyesuaikan diri dan mencari penyelesaian apabila keadaan tidak berpihak kepadanya,” katanya.
Pemain ranking ke-28 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama termasuk ketinggalan 17-20 di set kedua untuk mengatasi wakil Indonesia, Yohannes Marcellyno 11-21, 22-20, 21-12 pada aksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Qingdao, China, kelmarin.
Jonassen memuji semangat juang tinggi dipamerkan Jun Hao dalam perlawanan itu dan berjaya mengatasi tekanan bagi mencatat kemenangan.
“Pada set kedua ketika ketinggalan 17-20, dia tetap percaya bahawa masih ada peluang dan berjuang sehingga ke penghujung. Ini adalah tanda seorang pemain yang memiliki mentaliti juara,” katanya.
Jurulatih dari Denmark itu juga percaya pengalaman Jun Hao dalam mengatasi perlawanan sukar akan menjadi kelebihan buatnya apabila membuat penampilan sulung di Seluruh England di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac depan.
“Pemain terbaik dunia sentiasa mencari jalan untuk menang, tidak kira bagaimana bentuk permainan mereka pada hari itu. Keupayaan untuk beradaptasi adalah kunci kejayaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd