14 Januari 2025 07:22pm
Masa membaca: 4 minit
Jun Hao berjaya bangkit daripada ketinggalan 18-21 pada set pertama dengan melengkapkan kemenangan 21-17, 21-17 untuk mara ke pusingan kedua ketika bertemu Li Shi Feng . Foto Bernama
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao turun dengan aksi meyakinkan apabila berjaya menundukkan pilihan kelima kejohanan dari China, Li Shi Feng di Terbuka India hari ini.
Dalam perlawanan di Stadium Tertutup KD Jadhav, New Delhi, Jun Hao yang menghuni rangking ke-28 dunia tewas set pertama 18-21 sebelum bangkit pada set kedua 21-17 dan melengkapkan kemenangan 21-17 pada set ketiga untuk mara ke pusingan kedua.
Wakil negara berusia 25 tahun itu dijadualkan berdepan Weng Hong Yang dari China, yang mendapat kemenangan percuma selepas S Kidambi menarik diri.
Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengetepikan rakan senegara Tan Wee Kiong-Nur Mohd Azriyn Ayub 21-16, 21-16.
Gandingan kedua dunia itu akan berdepan sama ada pasangan Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi atau Daniel Hess-Marvin Seidel dari Jerman untuk perebutan slot suku akhir. – Bernama