Jumlah penumpang udara akan pulih pada 2024 – IATA

Jumlah penumpang udara akan pulih pada 2024 – IATA

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan keseluruhan jumlah pelancong akan mencapai 4.0 bilion pada 2024, melebihi paras sebelum COVID-19 pada 103 peratus daripada jumlah keseluruhan pada 2019.

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh, berkata jangkaan terhadap bentuk pemulihan dalam masa terdekat ini telah mencatatkan sedikit perubahan, mencerminkan perkembangan sekatan perjalanan yang dikenakan kerajaan di beberapa pasaran.

Katanya, gambaran keseluruhan yang dinyatakan dalam perkembangan terkini itu kepada ramalan jangka panjang IATA, bagaimanapun tidak berbeza daripada yang dijangkakan pada November, sebelum penularan varian Omicron.

“Trajektori jumlah pemulihan penumpang daripada COVID-19 tidak mencatatkan perubahan akibat varian Omicron. Orang ramai berminat untuk melakukan perjalanan. Apabila sekatan perjalanan ditamatkan, mereka kembali menaiki penerbangan.

“Perjalanan masih jauh untuk kembali kepada situasi normal, namun, ramalan bagi perkembangan jumlah penumpang memberikan alasan yang baik untuk menjadi optimistik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut persatuan itu, jumlah keseluruhan pelancong pada 2021 adalah 47 peratus berbanding paras pada 2019 dan dijangka meningkat kepada 83 peratus pada 2022, 94 peratus pada 2023, 103 peratus pada 2024 dan 111 peratus pada 2025.

“Pada 2021, jumlah pelancong antarabangsa adalah 27 peratus berbanding paras 2019 dan diramal menokok kepada 69 peratus pada 2022, 82 peratus pada 2023, 92 peratus pada 2024 dan 101 peratus pada 2025.

“Sementara itu, jumlah penumpang domestik mencatatkan 61 peratus berbanding paras 2021 dan ini dijangka naik kepada 93 peratus pada 2022, 103 peratus pada 2023, 111 peratus pada 2024 dan 118 peratus pada 2025,” katanya.

Walsh berkata, pendorong terbesar dan terpantas bagi bilangan penumpang adalah sekatan perjalanan yang dilaksanakan kerajaan dan mujurlah semakin banyak kerajaan telah sedar bahawa sekatan perjalanan hanya memberi kesan minimum atau tidak memberi kesan jangka panjang kepada penularan virus. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top